SEREMBAN, 8 Jan – Selepas melalui apa
yang dikatakan “tsunami politik” pada pilihan raya umum 2008, Barisan
Nasional (BN) kini bangkit semula sebagai sebuah parti yang kuat dan
paling kukuh untuk membawa pembaharuan dan perubahan besar dalam hidup
rakyat.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri
Muhyiddin Yassin berkata dengan kekuatan baru ini, rakyat Malaysia yang
terdiri daripada pelbagai kaum akan terus menyokong dan mendukung
kerajaan BN.
“Kita tahu semenjak kerajaan BN
mentadbir negara, kita memikul amanah ini, kita tidak pernah lupa
tanggungjawab kita, kita melakukan usaha-usaha pembangunan.
“Pembangunan ekonomi kita laksanakan di
mana daripada sebuah negara yang miskin, hari ini Malaysia telah bangkit
menjadi satu kuasa besar dalam ekonomi di rantau ini dan menjadi antara
negara termaju di kalangan negara-negara membangun,” katanya semasa
berucap pada majlis perhimpunan rakyat 1Malaysia dan pelancaran
Gelombang Biru peringkat Negeri Sembilan di Kompleks Belia dan Sukan
Paroi, di sini hari Selasa.
Katanya, jika dulu Malaysia menghadapi
masalah ketiadaan pelabur, namun hasil usaha dilaksanakan kerajaan BN
hari ini menyaksikan kedatangan pelabur ke Malaysia semakin meningkat.
“Malaysia sudah menjadi negara tumpuan
pelabur kerana Malaysia menyediakan pelbagai kemudahan untuk mereka dan
sehingga hari ini peluang pekerjaan banyak, industri bercambah bagai
cendawan selepas hujan dengan nilai berbilion ringgit dibawa masuk,”
katanya.
Berucap di hadapan ribuan hadirin yang
memakai baju biru, Muhyiddin berkata dengan keadaan sekarang tidak ada
sebab mengapa rakyat harus terpedaya dengan hasutan pembangkang yang
mahu menukar kerajaan sedia ada.
Katanya, ini kerana berbanding
negara-negara lain Malaysia tidak menghadapi sebarang krisis atau
pergolakan dan rakyat dari negara lain sendiri datang untuk mendapatkan
nikmat hidup di negara ini.
“Banyak negara menghadapi krisis
sehingga diisytihar muflis tapi Malaysia masih terus maju dapat
pembangunan, rakyat dapat menikmati kemajuan melimpah ruah, ini adalah
kenyataan.
“Jadi apa sebab nak tukar kerajaan
kerana banyak negara mereka tukar kerajaan tiada peluang pekerjaan,
mereka tukar kerajaan kerana mereka kata tidak dibantu kerajaan, mereka
tukar kerajaan kerana sudah muflis, ada krisis, ada pergaduhan.
“Tetapi di Malaysia tidak ada, rakyat
dapat berhimpun dalam keadaan yang tenang dan tidak ada ancaman, kita
hidup dalam keadaan begitu aman sejahtera, jadi apa sebab mahu tukar
kerajaan,” katanya.
Muhyiddin yang dalam rangka lawatan
kerja sehari ke negeri ini berkata, pimpinan BN sentiasa berpadu dan
tidak pernah bergaduh, perpaduan jelas kukuh tidak goyah seperti yang
berlaku dalam pakatan pembangkang.
Katanya, BN adalah satu-satunya parti yang jelas perjuangannya dalam mempertahan kebajikan semua kaum.
Turut hadir pada majlis itu beberapa
pemimpin utama BN, termasuk Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan
Datuk Seri Dr Rais Yatim, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan
Tengku Mansor, Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Menteri
Besar Datuk Seri Mohamad Hasan.