Thursday, 28 February 2013

Manifesto Pakatan Pembangkang Umpama ‘Janji Kasanova’



Janji-janji manifesto pembangkang bolehlah diibaratkan seperti “Janji Kasanova” yang pandai memikat gadis-gadis tetapi apabila sudat mendapat apa yang dihajati maka gadis-gadis itu akan dibiarkan merana kerena ditinggalkan, demikian pandangan Penyelaras Barisan Nasional (BN ) Parlimen Ampang, Datuk Ismail Kijo.

Justeru beliau mempersoalkan untuk apa pembangkang  membentangkan manifesto baru sedangkan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai antara pemimpin kanan yang turut dipertanggungjawabkan menguruskan negeri Selangor mengatakan bahawa manifesto bukan janji.
“Tan Sri Khalid Ibrahim sendiri mengatakan bahawa manifesto itu bukan janji. Kalau manifesto bukan janji, jadi nak buat apa buat manifesto? Kini dah buat janji baru.
“Mereka ini macam kasanova. Mereka hanya ingin menarik hati orang yang ingin mereka pengaruhi (kalau kasanova, dia nak menarik hati perempuan-perempuan yang mereka hendak miliki), tetapi apabila dah selesai, bila dia dah dapat semua, ia akan ditinggalkan begitu sahaja,” ujarnya yang juga Ketua UMNO Bahagian Ampang.
Tambahnya, salah satu janji yang dibuat dalam manifesto pakatan pembangkang ini ialah memberikan Skim Bonus Warga Emas dengan memberi bonus RM1,000 setiap tahun kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas.
“Di Selangor pada masa ini, ada lebih 300,000 orang yang berumur 60 tahun ke atas yang sepatutnya menerima caruman takaful dari kerajaan negeri yang dijanjikan PKR dan Pas Selangor dalam manifesto pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) yang lalu.
“Namun sehingga ke hari ini, kerajaan negeri langsung tidak berbuat apa-apa. Kita tak nafikan daripada hampir 30 janji yang ditaburkan pakatan di Selangor pada PRU12 yang lalu, hanya satu yang ditunaikan iaitu air percuma, itupun tidak sepenuhnya,”
Tambahnya, dalam manifesto yang lalu, mereka berjanji akan memberi bantuan berbentuk caruman takaful kepada golongan warga emas, tetapi kerajaan negeri memberi pelbagai alasan dengan mengatakan warga emas dibantu dengan cara lain.
Perkara ini sama sahaja dengan isu ibu tunggal, air percuma dan juga bantuan kanak-kanak tadika tetapi akhirnya mereka kata tidak pernah berjanji. Kerajaan negeri berterusan menipu rakyat demi agenda mereka untuk berkuasa.
“Kalau benarlah mereka mampu menunaikan janji manifesto mereka, tunjukkan dulu pelaksanakaan dan menunaikan dulu janji-janji yang telah mereka taburkan di negeri Selangor ini dahulu. Saya nasihatkan kepada rakyat 1Malaysia khususnya di Selangor ini, jangan kita tertipu lagi buat kali yang kedua, sebaliknya terus memberikan sokongan dan undi kita kepada Barisan Nasional yang terbukti telah mendahulukan rakyat dan membela rakyat selama ini,” ujarnya lagi.

Wednesday, 27 February 2013

Saf kepimpinan BN perlu bersatu



Jangan ada kepincangan dalam saf kepimpinan Barisan Nasional (BN) yang kini berada dalam keadaan sempurna terutama ketika menghadapi pilihan raya umum yang akan datang.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, apa yang penting dalam satu parti adalah kefahaman bersama bukan bertelingkah sesama sendiri sehingga mengabaikan pengundi dan parti.

Menurutnya, dalam Pilihan Raya Umum Ke-12, kekalahan beberapa kerusi BN bukan disebabkan pakatan pembangkang kuat, tetapi disebabkan ragam yang terlalu banyak.

''Pandangan pucuk pimpinan adalah menyeluruh dalam memilih calon, proses penelitian dan saringan yang dilakukan mengambil kira pelbagai aspek.

''Kita bukan memilih mereka yang menjadi hero untuk bahagian atau parti, kita memilih mereka yang disukai oleh rakyat kerana apa yang penting adalah pengundi dan parti," katanya yang mengulas pertemuan tertutup Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama kepimpinan BN yang diadakan semalam.

Mohamad berkata, apa yang penting adalah kehendak pengundi, malah negeri ini sahaja mempunyai 500,045 orang pengundi.

Tambah beliau lagi, sebahagian daripada mereka ini tidak menjadi ahli bagi mana-mana parti, bukan bermakna tidak dipedulikan, malah setiap pandangan mereka diambil kira.

''Oleh itu, nasihat Perdana Menteri semua pihak harus bekerja kuat dan mempunyai strategi dalam usaha untuk merampas semula Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikuasai pembangkang," katanya.

Mohamad berkata, pengundi juga diingatkan agar tidak mengundi mengikut perasaan, sebalik melihat fakta terutama kejayaan dan perubahan yang dibawa kerajaan BN untuk rakyat.

"Buatlah perbandingan, kita akan mendapat perbezaannya. Jangan ikut perasaan, apabila kita mengundi, kita mengundi untuk sebuah bangsa dan negara, jika kita silap kita tidak boleh mengubahnya semula.

''Undi kita adalah untuk menubuh kerajaan, jika parti atau orang yang kita pilih itu tidak berkaliber dan berkemampuan mentadbir, akan menjadikan negara atau negeri kita mundur ke belakang," katanya.



Friday, 1 February 2013

Kalau Masih Hidup Fadhil Noor Pun Mungkin Masuk UMNO…

“Hebat” sungguh jangkaan Tamrin Ghafar apabila berkata bahawa arwah bapanya, Tun Ghafar Baba akan keluar parti dan menyertai PAS lebih awal darinya sekiranya pejuang UMNO itu masih hidup sehingga kini.

Dalam ceramah tersebut, dia memberitahu bahawa pernah aktif di dalam UMNO selama 40 tahun sebelum meninggalkan parti keramat Melayu itu pada tahun 1995 kerana kecewa, kononnya “UMNO telah lari dari perjuangan asal”.

Dia turut memberikan contoh Allahyarham Tunku Abdul Rahman dan Allahyarham Tun Hussein Onn yang keluar UMNO dan meninggal dunia bukan sebagai ahli parti itu.

Lancang sungguh mulut Tamrin memperkatakan tentang pejuang-pejuang bangsa Melayu yang sudah meninggal dunia. Biadap mulut Tamrin itu sehingga sanggup dia menghina prinsip perjuangan arwah bapanya sendiri seumur hidup.

Sebagaimana maklum, tidak ada seorang pun yang mampu menafikan betapa arwah Tun Ghafar begitu tebal menjiwai semangat dan perjuangan UMNO. Sejak mula dari zaman mudanya, hinggalah ke akhir nafas, arwah tetap setia bersama parti.

Saya masih ingat bagaimana hinanya Tun Ghafar diperlakukan oleh Anwar Ibrahim ketika “sesumpah” itu menyingkirkan bapa Tamrin yang menyandang jawatan Timbalan Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri.

“Depan mata, pijak semut pun tak mati”, tapi Anwar “tikam” arwah Tun Ghafar dari belakang dengan bersenjatakan wang ringgit yang dikatakan bersumber dari tauke-tauke balak di Sabah dan Sarawak yang diperas Anwar.

Meskipun diaibkan Anwar di dalam pemilihan UMNO ketika itu, Tun Ghafar redha dengan ketentuan Allah SWT dan tidak pernah melatah untuk meninggalkan parti sebagaimana yang dilakukan oleh Tamrin.

Begitu tulen perjuangan bapanya sehingga tetap setia bersama UMNO walaupun pernah berada hampir di kemuncak karier politiknya, berbanding anaknya yang lebih rela menjadi pengkhianat parti pada tahun 1995.

Betulkah arwah Tun Ghafar akan keluar UMNO sekiranya beliau masih hidup sekarang? Atau itu merupakan satu kenyataan “syok sendiri” dari Tamrin mengenai arwah bapanya yang telah tiada?
Betulkah arwah Tun Ghafar akan keluar UMNO sekiranya beliau masih hidup sekarang? Atau itu merupakan satu kenyataan “syok sendiri” dari Tamrin mengenai arwah bapanya yang telah tiada?
Mentang-mentanglah Tun Ghafar telah tiada, maka anaknya sesedap rasa saja mendakwa ikut suka hatinya dan mencemar nama baik tokoh pejuang parti itu…

Kalau begitu, saya juga boleh sesedap hati menyatakan bahawa Allahyarham Ustaz Fadhil Noor akan keluar dari PAS dan menyertai UMNO sekiranya beliau masih hidup kerana kecewa melihat PAS yang kini semakin “sesat” dikemudikan Hadi dan Nik Aziz.

Arwah Ustaz Fadhil dulu begitu terkenal dengan ketegasan dan sifat konsistennya dalam prinsip perjuangan PAS yang sama sekali menolak DAP yang sejak dulu menunjukkan sifat anti-Islamnya.

Arwah tidak mungkin sanggup menggadai maruah PAS dengan “menjual” perjuangan menubuhkan negara Islam dan “membakul sampahkan” perlaksanaan hukum hudud, sebaliknya PAS sekarang telah melutut di depan DAP hanya kerana gilakan kuasa dengan memberikan alasan “tahaluf siyasi”.
Lagipun, arwah sudah tentu kesal dan marah dengan tindakan PAS yang kini lebih mengutamakan kepimpinan Anwarinas berbanding tradisi parti itu sebelum ini yang mengutamakan ulama dalam mengetuai pucuk pimpinan mereka.

Lihatlah kini di peringkat akar umbi betapa ramainya golongan ulama dan pro-ulama lari meninggalkan parti itu serta enggan lagi aktif membantu perjuangan PAS setelah parti tersebut dirosakkan oleh “syaitan” yang bernama DAP dan PKR.

Jadi, saya punya asas yang kukuh untuk menjangka arwah Ustaz Fadhil Noor akan keluar PAS dan menyertai UMNO jika beliau masih hidup. Jangan fikir Tamrin saja yang boleh cakap sesedap hati sesedap rasa…

Janganlah bercakap mengenai mereka yang sudah meninggal dunia kerana kita sendiri tidak tahu apa yang mereka akan lakukan jika mereka masih bernyawa. Bukankah lebih baik kita bersedekah Al-Fatihah” kepada para pemimpin yang beragama Islam yang telah meninggal itu?

Sekurang-kurangnya, biarlah mereka aman “di sana” dan kita pula tidak mendapat “dosa percuma” dengan menjangkakan sesuatu yang kita sendiri tidak tahu dan tidak pasti, bukan?

dukeofmontecristo