Aishah
Aishah (kiri) bersama barisan calon PR di kawasan Parlimen Jempol ketika penamaan calon, semalam.
JEMPOL- Penyanyi popular era 90-an, Wan Aishah Wan Ariffin atau Aishah tidak mahu mengaibkan mana-mana pihak ketika berkempen nanti, sebaliknya akan melakukannya secara berhemah.

Aishah, 48, berkata, kempen yang mengaibkan orang lain tidak perlu kerana manifesto sedia ada yang lebih menjaga kebajikan rakyat sudah cukup kuat untuk menarik pengundi.

“Orang mahukan pembaharuan, new blood, fresh ideas. Tidak perlu taktik kotor untuk provoke calon yang ada," katanya.

Menurutnya, pemilihan beliau sebagai calon juga membuka ruang kepada rakan artis lain, selain memberi pembaharuan pada dirinya sendiri.

“Sungguhpun saya berlainan lapangan, Insya-ALLAH saya boleh buat yang terbaik,” katanya ketika ditemui pemberita sejurus selepas diumumkan sebagai calon Pas bagi kerusi Parlimen Jempol, semalam.

Aishah yang akan menentang Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad (BN) sebelum itu diiringi lebih 500 penyokong sambil membawa sepanduk ‘Bulan di hatiku, Undilah Pas’.

Beliau juga kelihatan ceria diiringi empat calon Pakatan Rakyat lain yang bertanding iaitu Rebin Birham (PKR - Palong), Siew She Yong (DAP - Bahau),  Abd Rahman Ramli (Pas - Serting) dan T Kumar (PKR - Jeram Padang).