Labels

Friday 20 April 2012

Transformasi Mesyuarat Exco NS

 Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini membuat transformasi drastik bagi meningkatkan sistem penyampaian kepada rakyat supaya lebih cekap. 

 Tindakan drastik itu adalah dengan mengesahkan minit mesyuarat majlis itu atau lebih dikenali mesyuarat Exco pada hari sama berbanding amalan lazim selama seminggu atau pada mesyuarat MMKN selepas itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan (gambar) berkata, tindakan itu dibuat bagi membolehkan keputusan yang dicapai MMKN dapat disampaikan kepada pihak berkaitan dengan cepat.
Katanya, sebaik sahaja minit mesyuarat disahkan Setiausaha MMKN yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) akan terus menulis surat kepada pihak berkaitan bagi memaklumkan keputusan yang dibuat majlis berkenaan.

"Salinannya pula akan diberikan kepada pejabat kerajaan yang mengemukakan permohonan itu untuk mendapat kelulusan mesyuarat Exco.

"Transformasi drastik ini mampu menjimatkan masa keputusan sampai ke tangan pihak berkaitan antara dua hingga tiga minggu seperti yang lazimnya berlaku," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Wisma Negeri, di sini semalam.

Selain membuat dasar bagi negeri, MMKN berfungsi meluluskan permohonan berkaitan tanah dan pembangunan seperti mengurangkan kadar premium tanah dan kebenaran merancang.

Amalan sebelum ini adalah minit mesyuarat minggu ini hanya disahkan pada minggu depan dan keputusan diserahkan kepada pejabat kerajaan berkaitan yang bertanggungjawab memaklumkannya kepada pemohon.

Menurut Mohamad, tindakan itu juga selaras dengan gagasan kerajaan iaitu 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' yang menjadi teras utama pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bagaimanapun katanya, keputusan itu tidak bermakna sistem penyampaian sedia ada tidak berkesan sebaliknya kerajaan negeri sentiasa bersifat prihatin terhadap sistem tersebut termasuk mendengar rungutan yang bersifat terpencil.

Beliau turut berharap tindakan yang dibuat MMKN semalam itu adalah berita gembira kepada rakyat dan memberikan gambaran bahawa kerajaan negeri sentiasa sensitif dengan kehendak rakyat terutamanya sistem penyampaian yang cekap dan berkesan.

No comments:

Post a Comment