Labels

Showing posts with label Felda. Show all posts
Showing posts with label Felda. Show all posts

Tuesday, 8 May 2012

Sakit kepala pembangkang weiii...Ini bukan BR1M, tapi BROOM!!!

Hampir 50,000 warga peneroka Felda di Majlis Peneroka Bersama Perdana Menteri di Felda Jengka 8, pagi ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pemberian durian runtuh berjumlah RM15,000 kepada setiap peneroka Felda seluruh negara.

Berita baik itu diumumkan beliau di hadapan kira-kira 50,000 warga peneroka Felda di Majlis Peneroka Bersama Perdana Menteri di Felda Jengka 8, dekat sini.

Bercakap kepada pemberita selepas pengumuman itu, Najib berkata pembayaran bagi fasa pertama akan diagihkan dalam tempoh antara dua hingga tiga minggu dari hari ini.

"Pembayaran akan dibuat secara tunai dan fasa kedua akan dibuat sebaik sahaja selesai pembayaran fasa pertama manakala pemberian bonus kepada kakitangan Felda juga akan dibuat dalam masa terdekat," katanya.

Pada majlis itu juga, Najib turut mengumumkan tiga lagi insentif yang disifatkan beliau sebagai 'durian gugur' iaitu tabung amanah, 'blue form' untuk saham FGVH kepada peneroka dan tambahan bantuan untuk dana Yayasan Felda bagi membantu program baik pulih kampung-kampung lama dan tradisional di kawasan Felda.

Berkenaan dengan tabung amanah itu, Najib berkata sebanyak 20 peratus dalam tabung amanah adalah untuk penyenaraian FGVH dan sekiranya FGVH dapat keuntungan maka dividen akan diberi kepada setiap peneroka.

"Pada tahun depan kita jangkakan keuntungan sebanyak RM1.5 bilion dan sekiranya jumlah itu kekal seperti tahun lepas, setiap peneroka akan menerima lebih RM1,300, kalau untung lebih, peneroka akan dapat lebih lagi".

Najib berkata setiap peneroka akan menerima `blue form' untuk dapatkan saham FGVH dan beliau amat berharap peneroka tidak akan menjual saham berkenaan.

Perdana Menteri pada program itu turut menempelak mereka yang menentang penyenaraian FGVH termasuk segelintir peneroka serta pihak pembangkang yang cuba mencelarukan pemikiran rakyat.

"Saya tak rela dan redha mereka ini menerima (durian runtuh) ini kerana mereka ini mengkhianati apa yang kita buat, hanya peneroka yang jujur dan setia sahaja yang layak menerima durian runtuh ini," katanya.

Najib berkata durian runtuh itu dilihat amat bermakna untuk para peneroka yang telah banyak berkorban membangunkan tanah rancangan yang pada asalnya hanya hutan rimba.

"Bantuan ini bukan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), hanya RM500, ini bukan BR1M, tapi BROOM," katanya sambil berseloroh.


Najib berkata Felda yang bermula di Lurah Bilut pada 1956 kini telah memasuki fasa terakhir abad 21 yang bukan lagi bertatih tetapi mampu berdiri dan gagah perkasa di pentas ekonomi dunia. 

Friday, 20 April 2012

KPF Setuju Penyenaraian FGVH


Koperasi Pelaburan Felda Bhd. (KPF) bersetuju dengan langkah penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGVH) ke Bursa Malaysia Mei ini selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) diadakan hari ini.

Seramai 1,102 daripada 1,227 perwakilan yang menghadiri EGM itu menyokong resolusi penyenaraian tersebut, sekali gus menamatkan pelbagai kontroversi sejak kerajaan mengumumkan cadangan penyenaraian syarikat milik penuh Felda tersebut ke Bursa Malaysia.

EGM yang berlangsung kira-kira empat jam itu diadakan selepas mesyuarat yang sepatutnya dijalankan 22 Februari lalu dibatalkan setelah Mahkamah Tinggi Kuantan mengeluarkan perintah injunksi yang dipohon oleh lapan peneroka.

Utusan Malaysia difahamkan, para perwakilan EGM itu telah diberi penerangan oleh Ahli Lembaga Pengarah KPF mengenai usul-usul yang dibentangkan termasuk pemindahan milik pegangan KPF dalam Felda Holdings Bhd. (FHB) serta 10 anak syarikatnya kepada Felda sebelum mereka memutuskan sama ada mengundi untuk menerima atau menolak.

FGVH dimiliki 100 peratus oleh Felda dengan 49 peratus pegangannya dimiliki oleh Felda Holdings.

KPF yang dianggotai kira-kira 112,627 peneroka dan 23,000 pekerja Felda pula me miliki pegangan sebanyak 51 peratus di dalam Felda Holdings.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, dengan keputusan EGM tersebut, KPF telah bersetuju menjual saham dalam FHB kepada Felda sekali gus bersetuju dengan penyenaraian FGVH.

"Dalam mesyuarat itu juga, mereka telah bersetuju memberi mandat kepada Ahli Lembaga Pengarah KPF bagi meneliti, berunding, memperhalusi dan menerima apa-apa terma yang tertakluk dalam Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

"Esok Ahli Lembaga Pengarah Felda akan mengadakan mesyuarat bagi meneliti segala keputusan yang telah dibuat Ahli Lembaga Pengarah KPF ini," katanya ketika mengadakan sesi perjumpaan dengan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu di sini hari ini.

Menurut Ahmad, keputusan EGM itu membuktikan golongan peneroka mahu melihat Felda berada di tahap yang lebih tinggi berbanding sekarang.

"Ia juga bukti bahawa golongan peneroka tidak mudah termakan hasutan pembangkang," katanya.

Dalam pada itu, seorang perwakilan yang enggan dikenali memberitahu, sebagai generasi kedua Felda, beliau amat mengalu-alukan penyenaraian FGVH ke Bursa Malaysia.

"Tiada apa yang hendak dikhuatirkan, tanah kami tidak dirampas, hak kami masih dikekalkan malah ia memberi lebih banyak manfaat kepada peneroka.

''Jika selama ini kami ahli KPF boleh menerima dividen sehingga 15 peratus, mungkin jumlah itu akan bertambah apabila FGVH disenaraikan. Kami yakin dengan keputusan ahli lembaga pengarah kerana selama ini mereka tidak pernah mengabaikan kepentingan peneroka.

"Apa yang menjadi masalah selama ini adalah terdapat segelintir peneroka yang termakan hasutan pemimpin parti pembangkang,'' katanya.

Menurutnya, seperti yang diberitahu oleh Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad, penyenaraian tetap diteruskan walaupun tidak mendapat persetujuan KPF.

''Namun, apabila EGM hari ini berjaya mendapat persetujuan majoriti, ini bermakna para peneroka bakal mendapat manfaat dan dividen daripada FGVH secara langsung pada setiap tahun," katanya.

Penyenaraian FGVH bakal meluaskan lagi transformasi perniagaan Kumpulan Felda kepada satu entiti multinasional dan dalam masa sama membolehkan peneroka menikmati manfaat secara langsung daripada syarikat yang menjadi pengeluar minyak sawit mentah terbesar di dunia itu.

Petikan : Utusan Malaysia