Saturday, 13 April 2013

Krisis Calon: Selepas Telok Kemang, PKR Labu pula 'memberontak'



Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri ini ditimpa bala apabila akar umbi mula memberontak, bermula di Telok Kemang semalam dan hari ini di Labu pula.

'Semangat perpaduan' yang dilaungkan pemimpin pakatan pembangkang di negeri ini telah 'berderai' sebelum tiba Pilihan Raya Umum Ke-13.

Hari ini, bekas calon PKR pada Pilihan Raya Ke-12, Mokhtar Ahmad secara terbuka menolak pencalonan Ketua Pemuda Pas negeri, Mohd. Khairil Anuar Wafa yang telah diumumkan untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu dalam satu majlis di Batu Kikir, Jempol, Rabu lalu.

Apa yang menariknya, kerusi DUN Labu ini telah dipersetujui di peringkat kepimpinan tertinggi negeri ini untuk ditukarkan dengan Pas selepas parti itu sendiri bersetuju menyerahkan dua kerusi di Gemas dan Seri Menanti kepada PKR dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 ini.

Kata Mokhtar, calon Pas itu adalah perangkap kepada pembangkang dan bakal memperoleh kekalahan mudah kepada BN, apatah lagi Mohd. Khairul bukan anak tempatan di Labu.

"Pengaruhnya yang lemah dan tidak mesra, ditambah pula beliau (Mohd. Khairul) sendiri difahamkan adalah pengundi luar iaitu di Panchor Jaya bagi DUN Lenggeng, Parlimen Seremban," katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama PKR, Labu dekat sini hari ini.

Sehubungan itu, PKR Labu mendesak agar Pas menimbang semula untuk meletakkan calonnya di DUN Labu.

"Calon PKR berhak bertanding untuk membawa sinar kemenangan di Labu. Kita mendesak Majlis Presiden PKR mengambil perhatian serius dan tindakan segera," katanya.

Sementara itu di Telok Kemang, Port Dickson, Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Telok Kemang, M. Shanmugam bersama beberapa Ahli Jawatankausa Cabang PKR Telok Kemang menolak Pengerusi PKR negeri, Datuk Kamarul Baharin Abbas daripada bertanding di kerusi Parlimen Telok Kemang.

Beliau mahu Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendengar cadangan AMK Telok Kemang ini supaya tidak hanya meletakkan sahabat handai atau pemimpin tertentu bertanding kerusi Parlimen ini. 


No comments:

Post a Comment