Friday, 20 April 2012
KPF Setuju Penyenaraian FGVH
Koperasi Pelaburan Felda Bhd. (KPF) bersetuju dengan langkah penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGVH) ke Bursa Malaysia Mei ini selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) diadakan hari ini.
Seramai 1,102 daripada 1,227 perwakilan yang menghadiri EGM itu menyokong resolusi penyenaraian tersebut, sekali gus menamatkan pelbagai kontroversi sejak kerajaan mengumumkan cadangan penyenaraian syarikat milik penuh Felda tersebut ke Bursa Malaysia.
EGM yang berlangsung kira-kira empat jam itu diadakan selepas mesyuarat yang sepatutnya dijalankan 22 Februari lalu dibatalkan setelah Mahkamah Tinggi Kuantan mengeluarkan perintah injunksi yang dipohon oleh lapan peneroka.
Utusan Malaysia difahamkan, para perwakilan EGM itu telah diberi penerangan oleh Ahli Lembaga Pengarah KPF mengenai usul-usul yang dibentangkan termasuk pemindahan milik pegangan KPF dalam Felda Holdings Bhd. (FHB) serta 10 anak syarikatnya kepada Felda sebelum mereka memutuskan sama ada mengundi untuk menerima atau menolak.
FGVH dimiliki 100 peratus oleh Felda dengan 49 peratus pegangannya dimiliki oleh Felda Holdings.
KPF yang dianggotai kira-kira 112,627 peneroka dan 23,000 pekerja Felda pula me miliki pegangan sebanyak 51 peratus di dalam Felda Holdings.
Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, dengan keputusan EGM tersebut, KPF telah bersetuju menjual saham dalam FHB kepada Felda sekali gus bersetuju dengan penyenaraian FGVH.
"Dalam mesyuarat itu juga, mereka telah bersetuju memberi mandat kepada Ahli Lembaga Pengarah KPF bagi meneliti, berunding, memperhalusi dan menerima apa-apa terma yang tertakluk dalam Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
"Esok Ahli Lembaga Pengarah Felda akan mengadakan mesyuarat bagi meneliti segala keputusan yang telah dibuat Ahli Lembaga Pengarah KPF ini," katanya ketika mengadakan sesi perjumpaan dengan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu di sini hari ini.
Menurut Ahmad, keputusan EGM itu membuktikan golongan peneroka mahu melihat Felda berada di tahap yang lebih tinggi berbanding sekarang.
"Ia juga bukti bahawa golongan peneroka tidak mudah termakan hasutan pembangkang," katanya.
Dalam pada itu, seorang perwakilan yang enggan dikenali memberitahu, sebagai generasi kedua Felda, beliau amat mengalu-alukan penyenaraian FGVH ke Bursa Malaysia.
"Tiada apa yang hendak dikhuatirkan, tanah kami tidak dirampas, hak kami masih dikekalkan malah ia memberi lebih banyak manfaat kepada peneroka.
''Jika selama ini kami ahli KPF boleh menerima dividen sehingga 15 peratus, mungkin jumlah itu akan bertambah apabila FGVH disenaraikan. Kami yakin dengan keputusan ahli lembaga pengarah kerana selama ini mereka tidak pernah mengabaikan kepentingan peneroka.
"Apa yang menjadi masalah selama ini adalah terdapat segelintir peneroka yang termakan hasutan pemimpin parti pembangkang,'' katanya.
Menurutnya, seperti yang diberitahu oleh Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad, penyenaraian tetap diteruskan walaupun tidak mendapat persetujuan KPF.
''Namun, apabila EGM hari ini berjaya mendapat persetujuan majoriti, ini bermakna para peneroka bakal mendapat manfaat dan dividen daripada FGVH secara langsung pada setiap tahun," katanya.
Penyenaraian FGVH bakal meluaskan lagi transformasi perniagaan Kumpulan Felda kepada satu entiti multinasional dan dalam masa sama membolehkan peneroka menikmati manfaat secara langsung daripada syarikat yang menjadi pengeluar minyak sawit mentah terbesar di dunia itu.
Petikan : Utusan Malaysia
Labels:
Felda
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment