Bila sebut nama Universiti Malaya (UM) ramai yang akan bersetuju
pusat pengajian itu adalah antara pilihan utama ibubapa untuk
melanjutkan pelajaran ke peringkat yang tinggi bukan sahaja kerana
sejarahnya yang besar dalam dunia pendidikan malah namanya juga tercatat
antara 500 universiti terbaik dunia.
Bagaimanapun ranking yang baik tidak akan
menjanjikan banyak perbezaan jikalau ada segelintir pelajarnya mudah
terpengaruh dengan anasir luar yang hanya bermatlamatkan mempergunakan
mereka untuk kepentingan politik kepartian misalnya menyertai
demonstrasi jalanan di Dataran Merdeka tempohari.
Demonstrasi anti PTPTN sabtu lalu oleh sekumpulan
mahasiswa pro pembangkang sekalipun gagal sama sekali apabila dari 5,000
orang sasaran penyertaan hanya 200 - 300 orang sahaja yang hadir namun
kelibat beberapa pelajar UM dalam demo tersebut tentu sahaja menuntut
tindakan bersesuaian daripada pihak pentadbir universiti.
Antara yang telah dikenalpasti merupakan pelajar UM
ialah Haziq Abdullah, Syahid Zaini, Safwan Anang dan beberapa yang lain.
Ramai yang tertanya-tanya apa langkah selanjutnya yang bakal diambil
terhadap pelajar tersebut berikutan penglibatan mereka dalam demonstrasi
tersebut.
Haziq misalnya adalah antara individu yang
bertanggungjawab membawa gambar Perdana Menteri dengan kalungan bunga
kematian, satu tindakan yang agak biadap dan bersifat provokasi
sewajarnya disegerakan tindakan tegas terhadapnya.
Mana mungkin seseorang pelajar universiti yang tugas
utamanya menelaah pelajaran boleh di biarkan bebas berkeliaran
menyertai aktiviti politik sekalipun ada tikanya buah fikiran mereka
berguna untuk negara namun ada tempat dan tikanya yang sesuai untuk
tujuan tersebut.
Demonstrasi jalanan ditambah lagi dengan perlakuan
biadap, kurang ajar dan melampaui tabie asas seorang pelajar universiti
tentu saja sukar diterima masyarakat sementelah lagi isu pemansuhan
PTPTN yang mereka laungkan juga hasil usul dari golongan partisan yang
hanya memperalatkan mereka untuk tujuan kepartian.
Walhal ramai mengakui hakikat dengan adanya dana
pinjaman pendidikan dari PTPTN sejak lebih kurang 14 tahun ianya
beroperasi telah membantu ratusan ribu rakyat melanjutkan pelajaran ke
ipt, tiba-tiba kali ini semata-mata hampir pilihanraya umum ke 13 ianya
menjadi puching beg orang politik, apakah logik untuk kita hapuskannya
begitu saja?
PTPTN pula bukannya satu skim pinjaman bersandarkan
keuntungan, semua dana yang ada dan jumlah bayaran diterima dikitar
semula untuk kegunaan generasi pelajar akan datang dan caj perkhidmatan
1% yang dikenakan pula untuk menampung segala kos pentadbiran
termasuklah pengurusan, kakitangan, utiliti dan lain-lain yang
berkaitan.
Dan pula, PTPTN tidak sama sekali mewajibkan pelajar
memohonnya. Semua bergantung pada kemahuan individu tidak mengira
miskin atau kaya, jika memerlukan wang pinjaman maka PTPTN adalah
tempatnya.
Tapi jika berasa cukup mampu menanggung segala kos pengajian
dan sara hidup selama 2 hingga 5 tahun di universiti, tiada paksaan
untuk menggunakan khidmat PTPTN.
Andaikata masih ada segelintir pelajar begitu
kemaruk mahukan pendidikan percuma sebagaimana dilaungkan dalam demo
tersebut, ringan-ringankanlah otak untuk berfikir dan rajin belajar
supaya mampu mencapai keputusan cemerlang dengan kelulusan ijazah kelas
pertama tentu sahaja hutang pinjaman dilupuskan tanpa bayaran satu sen
pun.
Berbalik kepada isu penyertaan beberapa pelajar UM
dalam demonstrasi anti PTPTN sebagaimana disebut di awal tulisan ini,
sekali lagi ditekankan keperluan pentingnya tindakan segera pihak
pentadbir universiti bertegas dengan kebiadapan pelajar-pelajarnya.
Jangan ditunggu hingga ada yang terdetik dalam hati
menyangkakan yang Naib Canselor UM hanya makan gaji buta dek kerana
lambat bertindak dan kurang responsif terhadap isu tersebut.
Kita tidak mahu suatu hari kelak bakal lulusan universiti tergolong
dari sekumpulan manusia yang kurang ajar, biadap dan menjengkelkan
sikap perwatakannya sedangkan sifat dan tabie asas seseorang terpelajar
mestilah menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat.
Apatah lagi mereka bukan sahaja menggalas harapan
ibubapa dan negara supaya menjadi insan yang berguna malah suatu hari
nanti khidmat mereka diperlukan untuk menabur jasa bakti bagi
pembangunan masyarakat dan negara.
Justeru itu, segeralah bertindak untuk kebaikan
bersama agar ia tidak menjadi ikutan kemudian hari kelak yang tentu
sahaja jika dibiarkan bukan sahaja memberi kesan terhadap nama baik UM
sendiri malah akan menimbulkan keraguan masyarakat terhadap keupayaan UM
untuk mendidik generasi masa depan.
No comments:
Post a Comment