Motif utama mereka ialah menonjolkan keburukan kerajaan. Sama ada apa yang mereka bangkitkan itu benar atau salah, bukanlah perkara penting. Dalam keadaan begini, mereka akan cuba mengelirukan pemikiran rakyat dengan apa cara sekali pun, meskipun terpaksa menipu atau memfitnah.
Mereka mahu menimbulkan rasa syak wasangka dan keraguan di fikiran rakyat untuk mengurangkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan. Harapan besar mereka, ia akan diterjemahkan kepada undi. Itulah sebabnya pembangkang mendalangi perhimpunan BERSIH 3, seperti mereka lakukan sebelum ini.
Kalau boleh mereka mahu kerajaan mengharamkan perhimpunan itu supaya lebih mudah mereka meraih simpati dari dalam dan luar negara. Mereka melancarkan serangan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya semata-mata untuk hilangkan keyakinan rakyat terhadap institusi kerajaan.
Mereka kononnya meragui pertambahan pengundi sedangkan mereka juga menjalankan kempen menambah pengundi untuk mengundi parti mereka. Bila rakyat mulai ragu, mudahlah mempengaruhi pemikiran mereka.
Hakikatnya, jika SPR tidak bersih, Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak akan tewas di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor pada PRU-12, 2008 lalu. Perak ditawan semula oleh BN berikutan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri pembangkang keluar parti.
Lagi pun, takkanlah jutaan mata yang melihat proses perjalanan pilihan raya pada hari pengundian atau pengiraan undi, tidak dapat mengesan jika berlaku penipuan. Di setiap pusat pengundian diletakkan pemerhati mewakili parti politik yang bertanding. Apakah parti pembangkang sendiri tidak yakin dengan ahli atau wakil yang mereka pilih untuk menjadi mata dan telinga mereka di pusat mengundi atau di pusat pengiraan undi.
Sebelum ini, mereka mempertikaikan institusi kehakiman seolah-olah Malaysia tidak lagi menghormati keluhuran undang-undang. Selepas mereka menang beberapa kes, termasuk membabitkan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri, mereka terpaksa mencari sasaran baru bagi memenuhi cita-cita politik mereka.
Ada isu yang mereka bangkitkan memakan diri sendiri akibat terlalu rakus untuk memburukkan orang lain sedangkan lupa melihat ke dalam diri sendiri. Hari ini mereka terjerat dengan isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang mereka mahu mansuhkan.
Mereka terlupa bahawa ketika cadangan penubuhannya dan dibentangkan di Parlimen, pemimpin pembangkang termasuk Lim Kit Siang dan anaknya Lim Guan Eng menyokong kuat pelaksanaannya. Anwar sendiri lupa bahawa PTPTN dilahirkan ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Adalah jelas bahawa pembangkang amat bimbang dengan kelemahan mereka sekarang dan terpaksa mengada-adakan atau membesarkan sesuatu cerita untuk mendapat perhatian dan sokongan. Parti pembangkang tahu, kewujudan mereka tidak lagi relevan jika gagal mencipta cerita sensasi.
Ini menunjukkan semakin hampir tarikh PRU-13, pembangkang semakin menggelabah. Mereka sedar bahawa ini adalah peluang terakhir bagi mereka untuk merampas kuasa. Oleh itu, mereka terpaksa melakukan apa saja tanpa mengira sama ada tindakan mereka itu haram.
Sumber: Rencana BHOnline.
No comments:
Post a Comment