Labels

Sunday 14 April 2013

PRU-13: Anwar tangguh umum calon Parlimen PKR di NS



Spekulasi berhubung masalah dalaman dalam kalangan pakatan pembangkang di negeri ini semakin kuat apabila calon-calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi tiga kerusi Parlimen yang sepatutnya diumumkan malam tadi ditangguhkan oleh penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Cuba menutup masalah dalaman yang berlaku dalam PKR negeri, Anwar menjelaskan penentuan calon itu terpaksa ditangguhkan atas permintaan pemimpin tertinggi pakatan pembangkang dalam satu mesyuarat di sini semalam.

Kata-katanya itu menimbulkan persoalan mengapakah pula PKR, dan Anwar khususnya, perlu mendengar permintaan pemimpin parti rakannya dalam pemilihan calon PKR.

Di samping itu beliau cuba menggambarkan bahawa masalah berhubung penetapan calon tidak wujud dalam PKR.

Malah beliau memberikan alasan yang tidak berkaitan sebagai sebab penangguhan itu dilakukan iaitu desas-desus mengatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengumumkan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen pada pagi Isnin.

"Saya mahu ucap tahniah kepada kepada pakatan pembangkang negeri ini kerana telah menyelesaikan isu pembahagian kerusi. Cuma yang tidak selesai adalah pemilihan calon sebab dahulu orang tolak jadi calon tetapi sekarang mereka berebut sebab mereka yakin pakatan akan menang.

"Jadi sebab itu dalam mesyuarat majlis pakatan pagi tadi (semalam) mereka minta untuk saya tangguhkan pengumuman calon bagi tiga kerusi di Telok Kemang, Kuala Pilah dan Rembau," katanya dalam satu sesi ceramah di Pusat Komersil Melang dekat sini malam tadi.

Untuk rekod pada pilihan raya umum lalu, PKR bertanding di tiga kerusi Parlimen namun hanya menang di Telok Kemang menerusi Datuk Kamarul Baharain Abbas.

PKR di negeri ini dikatakan sedang mengalami krisis dalaman, termasuklah perselisihan Ketua Cabang Telok Kemang, M. Ravi dengan Kamarul Baharain, yang juga Pengerusi PKR negeri.

Malah, masalah pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) juga timbul apabila PKR kawasan Labu menuntut supaya kerusi berkenaan ditandingi oleh calon mereka berbanding keputusan ketika ini yang meletakkan calon sekutu mereka, Pas.



No comments:

Post a Comment