Labels

Wednesday 17 October 2012

Bukti mendahulukan kesihatan rakyat



KUALA PILAH -  Karnival Jelajah Sihat Bersama Komuniti adalah satu lagi bukti yang menunjukkan moto 'rakyat didahulukan' telah dilaksanakan oleh kerajaan secara bersungguh-sungguh.

Karnival itu yang 'turun padang menemui' rakyat di peringkat akar umbi adalah manifestasi kerajaan mahu rakyat negara ini sihat tubuh badan yang akan membolehkan mereka menikmati kesejahteraan dan kemajuan yang dicapai oleh negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pilah, Adnan Abu Hassan berkata, kerajaan mahu rakyat negara ini mengamalkan cara hidup sihat kerana statistik menunjukkan penderitaan kesihatan yang dialami oleh sebilangan penduduk negara ini berpunca daripada gaya hidup mereka sendiri.

Beliau berkata, oleh kerana itu, kerajaan menganjurkan karnival tersebut bagi memberi peluang yang luas kepada rakyat mendapatkan akses terhadap pemeriksaan kesihatan dalam usaha meningkatkan kualiti kehidupan mereka.

"Kita lihat karnival itu bukan saja diadakan di bandar besar tetapi juga di kawasan luar bandar bagi memberi peluang penduduk di luar bandar memahami dan mengamalkan apa yang disebut sebagai gaya hidup sihat," katanya.

Pelajar, Haina Suzzna Haidir, 15, berkata, dia teruja dengan karnival itu meskipun orang muda sepertinya mungkin tidak ada masalah kesihatan yang kronik.

Katanya, banyak ilmu pengetahuan baru yang ditimba melalui karnival itu mengenai betapa pentingnya mengamalkan gaya hidup sihat.

"Orang muda seperti saya mesti mengambil tahu semua ini kerana gaya hidup yang akan menentukan tahap kesihatan kita apabila meningkat dewasa kelak," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, Kampung Tanah Melintang, Senaling, Zahari Basir, 65, berkata, sebagai pemimpin di peringkat kampung, beliau meminta penduduk kampung mengunjungi karnival tersebut.

"Ia bukan karnival pesta tetapi karnival yang penuh dengan ilmu pengetahuan.

"Tidak kira sama kita muda atau tua, ilmu yang diraih di sini boleh menjadi panduan kepada diri sendiri untuk diamalkan dalam kehidupan harian," ujarnya.

Shahbudin Wali Mohd., 50, berharap karnival seperti itu diadakan secara lebih kerap kerana ia amat berfaedah kepada rakyat.

Katanya, ramai penduduk kampung yang enggan ke hospital kerana merasakan diri mereka tidak sakit.

"Tetapi banyak penyakit yang boleh dicegah sekiranya kita melakukan pemeriksaan awal seperti yang disediakan di karnival ini," katanya.

Sumber : Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment