Pilihan Raya Umum Ke-13 merupakan peluang Barisan Nasional (BN)
mengembalikan kekuatan politik selepas kehilangan lima negeri dan
majoriti dua pertiga ekoran 'tsunami' politik pada 2008.
Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, keadaan yang
berlaku pada pilihan raya umum lalu bukan disebabkan krisis dalaman,
tetapi ia salah satu daripada lima ujian besar yang dihadapi BN dan
UMNO.
"Situasi yang dihadapi kini hampir sama dengan keadaan (selepas
pilihan raya umum) pada 1969 di mana kita terpaksa memulihkan keadaan
UMNO dan BN.
"Jadi dalam situasi sedemikian kita perlu lakukan sesuatu yang boleh
menjamin kelangsungan kuasa kerana kita mempunyai banyak agenda besar
untuk negara," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Jelajah
Sayang 1Malaysia di Stadium Perbandaran Pasir Gudang dekat sini hari
ini.
Najib yang juga Pengerusi BN menyatakan keyakinan parti dalam
menghadapi pilihan raya umum akan datang berdasarkan proses menambah
baik parti komponen dan keyakinan rakyat menerusi pelbagai usaha yang
dilakukan.
Terdahulu dalam ucapannya beliau berkata, lima ujian besar telah
dilalui UMNO dan BN sejak dahulu lagi namun tidak menguburkan perjuangan
demi rakyat.
"Ujian pertama adalah saat Dato' Onn Jaafar keluar dari parti dan
menubuhkan Parti Negara (1954), namun keputusan pilihan raya tetap
memihak kepada UMNO. Kedua, tragedi 13 Mei 1969 berikutan keputusan
buruk pilihan raya umum yang pada masa itu ada pihak berarak hina orang
Melayu, namun kita menang besar pada Pilihan Raya Umum 1974.
"Ujian ketiga apabila UMNO diharamkan pada 1987, namun kita bangkit
dengan UMNO Baru yang meneruskan kesinambungan. Ujian keempat pada 1999
dengan laungan reformasi, demonstrasi jalanan selepas pemecatan Datuk
Seri Anwar Ibrahim," katanya.
Jelas Najib, tsunami politik pada 2008 merupakan ujian yang kelima
dan kini UMNO serta BN berada di persimpangan sama ada berjaya memenangi
pilihan raya umum atau menerima padah yang buruk.
Beliau bagaimanapun menyatakan keyakinan Johor akan kekal sebagai
negeri kubu kuat UMNO dan BN selepas melakukan lawatan ke beberapa
kawasan penting seperti Johor Bahru, Tebrau, Pasir Gudang dan Gelang
Patah.
No comments:
Post a Comment