Labels

Wednesday 27 February 2013

Saf kepimpinan BN perlu bersatu



Jangan ada kepincangan dalam saf kepimpinan Barisan Nasional (BN) yang kini berada dalam keadaan sempurna terutama ketika menghadapi pilihan raya umum yang akan datang.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, apa yang penting dalam satu parti adalah kefahaman bersama bukan bertelingkah sesama sendiri sehingga mengabaikan pengundi dan parti.

Menurutnya, dalam Pilihan Raya Umum Ke-12, kekalahan beberapa kerusi BN bukan disebabkan pakatan pembangkang kuat, tetapi disebabkan ragam yang terlalu banyak.

''Pandangan pucuk pimpinan adalah menyeluruh dalam memilih calon, proses penelitian dan saringan yang dilakukan mengambil kira pelbagai aspek.

''Kita bukan memilih mereka yang menjadi hero untuk bahagian atau parti, kita memilih mereka yang disukai oleh rakyat kerana apa yang penting adalah pengundi dan parti," katanya yang mengulas pertemuan tertutup Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama kepimpinan BN yang diadakan semalam.

Mohamad berkata, apa yang penting adalah kehendak pengundi, malah negeri ini sahaja mempunyai 500,045 orang pengundi.

Tambah beliau lagi, sebahagian daripada mereka ini tidak menjadi ahli bagi mana-mana parti, bukan bermakna tidak dipedulikan, malah setiap pandangan mereka diambil kira.

''Oleh itu, nasihat Perdana Menteri semua pihak harus bekerja kuat dan mempunyai strategi dalam usaha untuk merampas semula Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikuasai pembangkang," katanya.

Mohamad berkata, pengundi juga diingatkan agar tidak mengundi mengikut perasaan, sebalik melihat fakta terutama kejayaan dan perubahan yang dibawa kerajaan BN untuk rakyat.

"Buatlah perbandingan, kita akan mendapat perbezaannya. Jangan ikut perasaan, apabila kita mengundi, kita mengundi untuk sebuah bangsa dan negara, jika kita silap kita tidak boleh mengubahnya semula.

''Undi kita adalah untuk menubuh kerajaan, jika parti atau orang yang kita pilih itu tidak berkaliber dan berkemampuan mentadbir, akan menjadikan negara atau negeri kita mundur ke belakang," katanya.



No comments:

Post a Comment