Monday, 18 March 2013

Polis tahan lelaki cetuskan kekecohan semasa ceramah Zulkifli Noordin



Polis menahan seorang lelaki yang dipercyai mencetuskan kekecohan pada majlis ceramah oleh anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Guar  Perahu, Penanti dekat sini, malam tadi.

Lelaki berusia 50-an yang hadir bersama sekumpulan lebih 60 orang termasuk beberapa wanita dipercayai penyokong parti pembangkang itu mengganggu majlis ceramah yang disampaikan Zulkifli dan Mursyidul Am Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI) Muhammad Zahid Md Arip, di luar perkarangan sekolah berkenaan sejak 9 malam.

Keadaan mula kecoh apabila kumpulan terbabit bertindak agresif dengan merempuh masuk ke dewan tempat ceramah dan membaling telur kepada orang ramai yang menghadiri majlis itu selain melemparkan kata-kata provokasi.

Bagaimanapun pihak polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan yang berada di situ berjaya mengawal keadaan dan kira-kira 500 orang serta dua penceramah yang menghadiri majlis berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Azman Abd Lah ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki terbabit dan berkata individu itu bagaimanapun dibebaskan setelah polis mengambil keterangan daripadanya.

Sementara itu, Zulkifli dalam ceramah itu berkata, beliau tidak gentar untuk berhadapan dengan penyokong pembangkang kerana apa yang dilakukannya adalah untuk mempertahankan agama, bangsa dan tanah air daripada menjadi mangsa kerakusan pihak-pihak tertentu.

Ceramah bertajuk 'Di Sebalik Lahad Datu dan Kalimah ALLAH' itu diteruskan bawah kawalan polis.- Bernama

No comments:

Post a Comment