Labels

Wednesday 1 August 2012

Penantian berbaloi para doktor muda MAINS


gambar ketika majlis perasmian oleh Dato' Seri Utama Hj Mohamad 

REMBAU, 31 Julai – Nampaknya seluruh rakyat di negeri ini wajar melahirkan rasa syukur apabila kumpulan pertama seramai 20 doktor muda tajaan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) akan menamatkan pengajian mereka dalam perubatan di bumi para ambia – Mesir – hujung tahun ini.

Apa tidaknya, pelaburan pendidikan yang dibuat itu bukan sahaja akan menyaksikan kelahiran doktor muda yang memahami ilmu kedoktoran Islam tetapi juga amalannya kelak akan menjurus kepada al-Quran dan sunnah.

Bukan itu sahaja, kembalinya kumpulan pertama doctor muda dari Mesir tersebut juga akan memperkukuhkan lagi hasrat majlis agama untuk membuka lebih banyak Klinik Wakaf dan Pusat Hemodialisis An-Nur MAINS yang ketika ini Cuma dua buah iaitu di Senawang dan Rembau.

Pastinya, kehadiran doctor muda ini kelak akan membuktikan usaha bertahun oleh MAINS termasuklah permohonan izin daripada Majlis Fatwa Negeri Sembilan untuk menggunakan sebahagian wang zakat nagaja para pelajar berkenaan mengikuti pengajian di Mesir dalam bidang perubatan di bawah asnaf ar-Riqab adalah sangat-sangat berbaloi.

Sebab itulah di dalam al-Quran, Allah SWT meletakkan kedudukan asnaf ar-Riqab di dalam senarai penerima zakat bagi posisi kelima yang dimulai dengan asnaf fakir, miskin, amil, mualaf dan riqab.

Menurut Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, di bawah asnaf ar-Riqab ini dengan mengambil kira tiada lagi  hamba pada zaman moden ini, maka untuk memberikan anak-anak pelajaran dan pengetahuan, ia tergolong dalam konteks membebaskan hamba dari sebarang kejahilan.

“Majlis Fatwa Negeri Sembilan membenarkan asnaf ar-Riqab ini digunakan untuk membebaskan anak-anak kita daripada buta huruf, kejahilan dan melahirkan seorang insane yang berjaya dalam pelajaran sekaligus membantu umat pada masa hadapan.” Tegasnya di sini.

Justeru itu kata Mohamad, definasi ar-Riqab perlu dilihat dalam aspek memberikan manfaat kepada seluruh umat dan dalam hal pendidikan ini sebahagian fuqaha tidak sekadar menyempitkan definasi ar-Riqab sebagai hamba semata-mata, tetapi lebih meluas meliputi pelbagai aspek lain perhambaan.

Maka di atas tafsiran itu, ketika ini terdapat 70 pelajar cemerlang yang datang dari sekolah agama seluruh negeri ini ditaja oleh MAINS untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan. Sebahagian wang tajaan itu diperolehi melalui zakat di bawah asnaf ar-Riqab.

Berdasarkan pengamatan juga adda begara-negara di dunia yang telah mengalihkan peruntukan ar-Riqab ini kepada asnaf yang lain, misalnya di Arab Saudi.

Bahkan pada Simposium Kedua Perbaddanan Rasmi Zakat Sedunia pada 1989, telah mengeluarkan fatwa bahawa agihan zakat bagi asnaf ar-Riqab ini boleh diagihkan kepada asnaf yang lain.

Oleh yang demikian, Mohamad optimis, segala usaha yang dilakukan ini kini menampakkan hasil dan pihaknya juga akan mengadakan rundingan dengan Kementerian Kesihatan supaya doctor muda ini diberi latihan bekerja sebelum mereka dapat  berkhidmat di klinik wakaf dan pusat hemodialisis MAINS.

Buat masa ini, kita banyak bergantung kepada pengurusan dan doktor dari Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) dan tahun lalu sahaja, MAINS perlu membayar RM1.6 juta.

“Bila kita ada doktor sendiri, mereka akan ditempatkan di klinik wakaf ini. Mungkin satu klinik akan ada tiga doktor kerana kita akan membukanya 24 jam. Setiap daerah akan mempunyai klinik wakaf dan pusat hemodialisis sendiri.” Ujarnya.

Mohamad juga memberitahu, doktor muda ini akan berkhidmat dengan klinik ini dan selebihnya diserapkan ke hospital kerajaan lainnya.

“Saya akan berbincang dengan Kementerian Kesihatan dan kalau boleh biarlah pelajar perubatam tajaan MAINS ini kembali berkhidmat dalam negeri ini.” Ujarnya.

Mohamad juga menjelaskan, setiap tahun seramai 10 pelajar cemerlang dari sekolah agama dalam negeri ini akan dihantar melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Mesir.

“Jika kita fikirkan kos seorang pelajar adalah RM450,000. Tetapi, pelajar yang ditaja oleh MAINS hanya membuat pinjaman kurang dari RM100,000.

“Selebihnya adalah wang zakat di bawah asnaf ar-Riqab tadi. Maknanya, 2/3 adalah wang zakat dan 1/3 dalam bentuk pinjaman.” Jelasnya.

Menurut beliau, pelaburan dibuat di dalam pendidikan membawa keuntungan sepanjang hayat dan bagi pelajar kedoktoran yang akan kembali ke tanahair hujung tahun ini, ia akan membawa sinar baru kepada umat Islam dan masyarakat apabila mereka berkhidmat di hospital, klinik wakaf dan pusat hemodialisis.

Sekurang-kurangnya akan ada nanti Ibnu Sina – doktor Islam yang terulung, lahir dalam kalangan pelajar perubatan tajaan MAINS dan bersedia memberi bakti kepada seluruh masyarakat dengan pendekaran al-Quran dan sunah.

Oleh : Ainol Amriz Ismail 
Sumber : Utusan Malaysia


No comments:

Post a Comment