Labels

Friday, 21 December 2012

NS tidak pernah naik tarif air

 

SEREMBAN - Kerajaan negeri tidak pernah menaikkan tarif air sehingga membebankan rakyat, kata Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Sambil menafikan dakwaan Teo Kok Seong (DAP-Bahau) kononnya tarif itu naik selepas pertukaran meter baru, Mohamad memberitahu, kerajaan telah berkali-kali membuat penjelasan mengenai perkara ini, tetapi isu berkenaan sering dimainkan pembangkang.

"Selaku Pengerusi Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains), saya ingin tegaskan kerajaan tidak pernah naikkan tarif air, sebaliknya negeri ini mempunyai kadar yang tinggi dalam kehilangan air tidak berhasil (NRW) disebabkan banyak faktor," katanya ketika menjawab soalan tambahan Kok Seong pada sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Kata Mohamad, selepas air diproses dan apabila berlaku pengagihan, banyak air yang hilang sehingga pungutan hasilnya tidak seperti yang diharapkan.

"Selepas kajian dibuat dan mencari punca berlakunya NRW ini, Sains mendapati ada tiga sebab utama.

"Pertama, atas faktor kehilangan air disebabkan paip lama yang sering bocor, di mana ketika ini usaha sedang dibuat untuk menggantikannya dengan yang baru.

"Keduanya, disebabkan kecurian yang dibuat pihak tidak bertanggungjawab terutama premis perniagaan, kawasan pembinaan dan sebagainya.

"Yang ketiga ialah meter lama, di mana sudah banyak yang rosak dan memberi bacaan salah," ujarnya.

Justeru katanya, kerajaan telah mengambil pendekatan menggantikan meter lama di mana ketika ini terdapat lebih 300,000 akaun pemilik yang akan menerima meter baru.

"Sehingga kini, sudah hampir 50,000 meter lama digantikan dengan meter baru, sekali gus menunjukkan bacaan yang tepat. Dahulu bacaannya tidak tepat dan pengguna membayar pada kadar yang rendah berbanding penggunaan yang berlebihan," katanya.

No comments:

Post a Comment