Labels

Sunday 30 December 2012

12 juta pengundi wajar nilai rekod pencapaian kerajaan sedia ada


Kira-kira 12 juta pemilih berdaftar yang akan mengundi dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang wajar membuat penilaian teliti dan merenung masa hadapan bersandarkan realiti dan rekod pencapaian menyeluruh kerajaan sedia ada, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri.
  
Beliau berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) telah membuktikan kemampuannya mengemudi dengan baik dan berjaya menyelamatkan negara daripada cubaan paling getir semasa krisis ekonomi dan kewangan pada tahun 1997.
  
"Walaupun pada mulanya Malaysia mendapat cemuhan antarabangsa tetapi kejayaan preskripsi pemulihan ekonomi negara yang tidak mengguna formula dicadangkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah menjadikan Malaysia menjadi contoh dan mendapat pujian.
  
"Negara bukan sahaja terselamat tetapi formula Malaysia turut diguna pakai oleh kebanyakan negara lain termasuk kuasa besar dalam menghadapi krisis ekonomi yang serupa," katanya ketika berucap pada Majlis Bersama Rakyat di Kampung Delima, di sini hari ini.
  
Abdul Rahim berkata proses mengejar kemajuan yang dilakukan kerajaan memerintah adalah berkehendakkan ruang ,peluang dan masa.

"Ini adalah kerana ia perlu melalui proses yang pelbagai sepertimana kata pepatah Inggeris 'kota Rom yang gah itu tidak dibina dalam satu hari' .
  
"Kejayaan dan kemajuan negara juga tidak berlaku secara yang tidak disengaja. Kejayaan yang ingin dicapai oleh sesebuah negara menuntut kestabilan, perancangan dan dasar yang baik, pelaksanaan yang berkesan serta kepimpinan negara yang berwawasan," katanya.
  
Abdul Rahim berkata sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, kuasa rakyat adalah penentu peneraju barisan kepimpinan kerajaan.
  
"Dengan kata lain, kebijaksanaan rakyat majoriti lah yang penting di dalam menentukan hala tuju negara. Jika rakyat tersalah pilih semata mata kerana terpedaya dengan dakyah dan persepsi sedangkan kebaikan dan realiti sebenar diketepikan maka negara akan berhadapan dengan masalah besar dan mengundang kegagalan negara," katanya.  - Bernama

No comments:

Post a Comment