Labels

Monday 3 December 2012

Peneroka Gatco sokong kerajaan

JEMPOL - Lebih 200 peneroka dari Kampung Serampang Indah (Gatco) dekat sini hari ini membuat perhimpunan aman bagi menyokong usaha kerajaan bersama syarikat Tamarai Holding menyelesaikan kemelut pemberian tanah di kampung tersebut sejak lebih 20 tahun lalu.

 

SEBAHAGIAN peneroka Gatco mengadakan perhimpunan aman sebagai tanda menyokong usaha kerajaan dan Tamarai Holding selepas membuat laporan di IPD Jempol, Negeri Sembilan, kelmarin.


Bantahan itu diadakan selepas sebahagian peneroka membuat laporan di Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Jempol bagi melahirkan rasa tidak puas hati terhadap pihak yang cuba menghalang kerja penolakan kayu getah di ladang tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lui, Datuk Zainal Abidin Ahmad menjelaskan, pihaknya turut sama menyokong peneroka yang mahu kemelut di Gatco diselesaikan dengan segera.

''Di perkampungan itu, terdapat 380 peneroka dan 280 orang daripada mereka menyokong usaha kerajaan bersama Tamarai Holding dalam isu pemberian tanah kepada mereka.

''Syarikat tersebut menawarkan tanah kebun 1.5 hektar kepada peneroka asal dan waris manakala pihak yang membeli daripada peneroka akan mendapat 0.8 hektar. Namun ada peneroka yang tidak bersetuju dan cuba menghalang syarikat berkenaan,'' katanya di IPD Jempol di sini kelmarin.

Beliau berkata, peneroka seharusnya tidak mencampurkan elemen politik dalam penyelesaian isu ladang itu memandangkan apa yang diberikan adalah satu pulangan yang cukup baik.

Jelas Zainal, mereka perlu sedar bahawa syarikat lama telah muflis dan mereka tidak akan dapat tanah seluas lebih 3.2 hektar seperti dahulu.

''Atas keprihatinan kerajaan, satu jalan penyelesaian telah dicari iaitu mengadakan perbincangan dengan syarikat tersebut.

''Kini syarikat baharu bersetuju memberikan tanah tersebut secara percuma kepada peneroka. Jadi mereka seharusnya menerima tawaran tersebut daripada tidak memperoleh apa-apa," katanya.

Dalam pada itu Ketua Polis Daerah, Supritendan Hamzah Alias menjelaskan, pihaknya ada menerima laporan tersebut selain Balai Polis Air Hitam dekat sini.

Sumber : Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment