Labels

Wednesday 25 July 2012

Adat Perpatih – Adat beragama, Agama kita pertahankan, Adat Bernegeri, negeri kita pertahankan, adat berkampung, kampung kita pertahankan.. adat bersuku, suku dipertahankan



DYMM Yang diPertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir pernah bertitah ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Adat Perpatih 2012 pada 7 Julai lalu bahawa Kerajaan Negeri perlu sentiasa memperkenalkan Sistem Adat Perpatih kepada generasi muda dan orang luar dari negeri ini.

Sistem Adat Perpatih yang diamalkan sejak zaman berzaman itu terbukti berjaya mengubah gaya hidup masyarakat yang bertelagah agar sentiasa memupuk semangat perpaduan dan kekeluargaan diantara satu sama lain.

Menurut baginda, adat tertua itu tidak boleh dibiar untuk generasi hari ini menyalah tafsir dan ianya perlu dibudayakan.

Titah baginda, “Beta melihat langkah yang pragmatik perlu dikenalpasti dan dilaksanakan agar warisan Adat Perpatih tidak dilihat sebagai terpakai hanya untuk tujuan atau sesuatu majlis tertentu sahaja. Adat yang disanjung ini tidak seharusnya dibiarkan terus berada ditakuk lama tanpa memberikan ruang untuk ianya berkembang bersesuaian dengan peredaran zaman.”

“Ianya juga perlu dibuktikan sebagai pemangkin utama bagi menangani masalah gejala sosial yang melanda masyarakat pada hari ini, seperti penyalahgunaan dadah, kerapuhan nilai-nilai murni, serta kelunturan budi bahasa dan keruntuhan institusi kekeluargaan.” Titah baginda lagi.

Baginda turut tegas dan memastikan asas nilai tradisi yang positif yang terkandung di dalam Adat Perpatih tidak diwariskan hanya pada nama dan tujuan tertentu sahaja, tetapi melalui pengisian serta amalan yang menyeluruh di dalam aspek kehidupan.

Sekiranya perkara ini diberi keutamaan oleh semua pihak, Adat Perpatih akan terus kekal relevan untuk diwariskan kepada generasi akan datang.

Menurut senario hari ini, keadaan menjadi agak kritis dan pemahaman masyarakat semakin longgar terhadap kehidupan bermasyarakat dan budaya kehidupan itu semakin ditinggalkan.

Oleh yang demikian, Negeri Sembilan khususnya yang terkenal dengan negeri beradat ini perlu menginsafi  serta mengamalkan sistem permuafakatan dengan lebih mendalam lagi agar perhubungan ini menjadi semakin kuat dan utuh.

Hubungan antara Raja dan Pemimpin, hubungan pemimpin dengan rakyat diibaratkan sebagai “Raja dan rakyat berpisah tiada. Raja penaung rakyat jelata. Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing.”

Segala perselisihan dirunding untuk mencapai satu keputusan yang baik untuk masyarakat.

Pemimpin yang memegang amanah dan tanggungjawab, disukai dan disayangi rakyat. Adat beragama, agama kita pertahankan, Adat Bernegeri, negeri kita pertahankan, adat berkampung, kampung kita pertahankan.. adat bersuku, suku dipertahankan.

Baginda mencemar duli ke Majlis Berbuka Puasa di kediaman rasmi Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, semalam.

Baginda diiringi DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani binti Tengku Besar Mahmud serta dua putera baginda, Tunku Ali Redhauddin, Tunku Zain Al’Abidin.

Majlis Berbuka Puasa tersebut turut dihadiri Tunku Besar Tampin dan Undang Yang Empat.

EXCO, ADUN, Ketua Jabatan Negeri dan Persukutuan serta ahli MUBARAK antara yang hadir.












No comments:

Post a Comment