Labels

Wednesday 4 July 2012

BN optimis rampas semula 3 kerusi DUN


SEREMBAN  - Barisan Nasional (BN) negeri yakin dapat merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu termasuk tiga kerusi DUN milik UMNO iaitu Sikamat, Ampangan dan Paroi. 

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dengan kerja keras dan persediaan yang dilakukan oleh jentera parti, kerajaan optimis kawasan yang tewas itu akan kembali kepada BN pada pilihan raya umum akan datang.

"Saya dimaklumkan, jentera parti di DUN Sikamat sudah bersedia dan nampaknya mereka bersungguh-sungguh dan bekerja keras," katanya pada majlis jalinan mesra pemimpin dan rakyat DUN Sikamat di sini semalam.

Pada pilihan raya umum lalu, calon BN bagi DUN Sikamat, Datuk Md. Yusof Harmain Shah tewas kepada calon PKR, Aminuddin Harun dengan majoriti 499 undi.

Mohamad berkata, BN akan terus bekerja kuat untuk kesejahteraan rakyat dan ia telah terbukti sejak puluhan tahun lalu.

"Hanya BN yang tahu kehendak rakyat dan boleh menterjemahkannya dalam bentuk tindakan dan rakyat telah menerimanya dengan baik," katanya.

Beliau berkata, kerajaan BN mahu terus melihat rakyat hidup dalam aman dan sejahtera, bukan seperti negara lain yang berhadapan konflik politik, kesengsaraan, keselamatan dan penderitaan berpanjangan.

Menurutnya, rakyat selama ini boleh hidup sejahtera di negara ini kerana kerajaan BN tahu menguruskannya dengan baik. 

Sebab itulah, kerajaan BN adalah pilihan terbaik dan rakyat wajar mensyukuri nikmat hidup aman selain disediakan peluang pekerjaan, pendidikan, kediaman, kebajikan, kesihatan, keperluan hidup yang menjamin masa depan, katanya.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah memimpin negara ini dengan cemerlang dan kita di Negeri Sembilan juga meneruskan legasi itu untuk melihat rantaian kecemerlangan tersebut melimpahi rakyat di negeri ini melalui dasar yang dibuat oleh kerajaan negeri demi kesejahteraan rakyat," ujarnya.

No comments:

Post a Comment