Wednesday, 23 January 2013

Gerak hati, ingin lihat sendiri bawa PM ke Palestin

Najib tun Razak memangku anak Komander Briged Al Qassam, Ahmed Al-Jafari yang maut terkena tembakan roket Israel sewaktu melawat Gaza, semalam.

GAZA  - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau mengikut gerak hati apabila mengambil keputusan untuk melakukan lawatan ke sini kerana ingin melihat sendiri penderitaan dan kesengsaraan rakyat Palestin.

Perdana Menteri berkata, walaupun selama ini Malaysia memberikan pelbagai sokongan dan bantuan, namun sokongan itu akan lebih bermakna jika beliau menjejakkan kaki ke bumi Palestin.

"Justeru saya lakukan lawatan ini yang dianggap bersejarah memandangkan inilah kali pertama seorang Perdana Menteri Malaysia melawat Palestin," katanya.

Beliau yang dalam lawatan kemanusiaan ke sini berkata demikian ketika berucap dalam pertemuan dengan Kabinet Palestin hari ini.

Najib tiba di kawasan sempadan Rafah di wilayah Palestin kira-kira 10.40 pagi (waktu tempatan) atau kira-kira (4.40 petang waktu Malaysia).

Ketibaan Najib disambut Perdana Menteri kerajaan Hamas di Gaza, Ismail Haniyeh di kawasan sempadan.

Lagu kebangsaan Malaysia, Negaraku dan Palestin berkumandang selepas itu.

Najib juga memeriksa kawalan kehormat Pasukan Polis Palestin dan mengadakan perbincangan dengan Ismail di Pusat Pemeriksaan Imigresen Rafah.

Sebelum itu, Najib menempuh perjalanan sejauh 55 kilometer dari lapangan terbang El-Arish di Mesir ke kawasan sempadan Rafah.

Perdana Menteri berkata, Malaysia mengagumi keberanian dan ketabahan rakyat Palestin dalam berhadapan dengan kekejaman Israel.

Najib memulakan lawatan dengan mengunjungi beberapa tempat yang musnah akibat serangan Israel pada November lalu.

Selain pejabat Perdana Menteri, Ismail Haniyeh yang musnah, Najib juga turut mengunjungi keluarga Ahmed Al-Jafari iaitu Komander Briged Al Qassam.

Ahmed terbunuh apabila kereta yang dinaikinya terkena tembakan roket Israel.

Najib mengakhiri lawatan dengan menerima ijazah doktor kehormat dari Universiti Al-Aqsa 
sebelum berlepas ke Kaherah bagi mengadakan kunjungan hormat terhadap Presiden Mesir, Mohamed Morsi.

Perdana Menteri dan isteri, yang sedang dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Mesir tiba di Kaherah 9 malam ini waktu tempatan.

No comments:

Post a Comment