Labels

Saturday 5 January 2013

Lebihan undi Zairil 'satu keajaiban' - Tunku Aziz


Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim (gambar) menyifatkan lebihan hampir 500 undi yang diterima oleh Zairil Khir Johari selepas pengiraan semula dibuat sebagai 'satu keajaiban'.

Menurut beliau, lebihan undi itu tidak munasabah kerana jurang perbezaan daripada undi asal yang diterima Zairil cukup besar.

"Jumlah undi yang kira semula itu macam tidak munasabah. Bagaimana Zairil yang mendapat undi awal sebanyak 305 boleh naik mendadak kepada 803 undi.

"Bukan sikit tetapi peningkatan mencecah 500 undi. Macam ada satu keajaiban pula," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar tempatan yang mendakwa DAP mengakui berlaku kesilapan dalam pengiraan undi dalam pemilihan parti yang dilakukan pada pertengahan Disember lalu.

Dalam keputusan yang dipinda itu, Zairil, yang sebelum ini dikatakan mendapat 305 undi, sebenarnya telah mendapat 803 undi, meletakkannya pada kedudukan 20.

Dalam laporan akhbar itu, Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, CEC yang bermesyuarat malam tadi telah mengesahkan Zairil dipilih sebagai ahli.

Sehubungan itu, beliau percaya pengakuan DAP tentang kesilapan dalam pengiraan undi semasa pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti itu baru-baru ini memang sengaja dibuat.

Malah, beliau yakin DAP terdesak membuat pengakuan itu selepas parti tersebut menerima kritikan hebat selepas tiada seorangpun calon Melayu yang mendapat tempat dalam CEC.

Katanya, kalau DAP jujur, parti itu tidak memerlukan masa yang lama untuk membuat pengiraan semula.

"Hari itu juga boleh buat semula. Ini bukan pilihan raya umum tetapi hanya pemilihan kecil dalam parti, parti pun bukan besar sangat," katanya.

Tunku Abdul Aziz menambah, beliau tidak terperanjat langsung dengan pengakuan DAP itu, sebaliknya menyifatkan kenyataan itu sebagai satu tindakan untuk manipulasi persepsi orang Melayu terhadap parti tersebut.

"Pengakuan kesilapan itu hanya satu tindak balas sahaja untuk mengambil hati orang Melayu.

"Siapa yang pernah berada dalam DAP akan tahu bagaimana kebolehan parti itu memutar-belitkan banyak fakta. Itu aktiviti kebiasaan DAP.

"DAP ingat dengan cara macam ini mereka pandai, tetapi mereka lupa orang Melayu juga tidak bodoh," katanya.

Tunku Abdul Aziz turut mempersoalkan mengapa Zairil hanya diletakkan pada kedudukan ke-20, tempat tercorot dalam pemilihan CEC.

"Bukan orang tidak tidak tahu kedudukan ke-20 dalam pemilihan CEC adalah kedudukan tercorot.

"Cuba letak pada kedudukan keenam, ketujuh atau kelapan, barulah orang Melayu rasa bangga," sindir beliau.

No comments:

Post a Comment