SEREMBAN, 8 Jan (Bernama) — Timbalan Perdana Menteri Tan Sri
Muhyiddin Yassin meminta semua pihak supaya menghormati keputusan badan
pemantau rasuah Transparensi Antarabangsa Malaysia (TI-M) yang menolak
jemputan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk menjadi pemantau dalam
Pilihan Raya Umum ke-13.
Beliau berkata tindakan itu mungkin dibuat kerana pihak berkenaan
merasakan tidak berminat atau yakin sistem yang diamalkan di sini telus
dan tidak wajar bagi mereka hadir menjadi pemerhati.
“Kita tak boleh kata kamu mesti datang, itu adalah pilihan mereka dan
kita harus hormati apabila sesuatu pihak membuat keputusan, apa yang
kita nak pertikaikan,” katanya.
Berhubung persediaan Barisan Nasional (BN) negeri menghadapi PRU-13,
Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata parti-parti komponen
kini berada di tahap kesiapsiagaan yang tinggi dan yakin faktor sokongan
yang kian meningkat, rakyat akan terus memilih BN untuk kekal
memerintah.
Beliau berkata BN juga yakin dapat mengekalkan bilangan 21 kerusi
Dewan Undangan Negeri yang dimenangi sebelum ini serta menebus kembali
15 kerusi yang dikuasai pembangkang selain memenangi tujuh daripada
lapan kerusi Parlimen yang diperuntukkan.
“Namun begitu, sebagaimana biasa saya ingin mengingatkan setiap
peringkat pemimpin BN supaya perkukuhkan kedudukan parti terutama dari
segi kerja yang perlu dibuat sama ada di peringkat bahagian atau kawasan
untuk menentukan berlakunya peningkatan sokongan yang lebih ketara oleh
semua kaum selain bijak menguruskan hal-hal yang berlaku dan tersebar
di media sosial,” katanya mengulas mengenai taklimat persediaan
menghadapi PRU oleh semua pemimpin parti komponen BN yang berlangsung
secara tertutup sebelum itu.
Muhyiddin berkata berikutan taklimat itu, beliau mahu setiap pemimpin
di semua peringkat mengetahui dan memahami kedudukan sikap pengundi di
semua kawasan dengan melakukan ‘man marking’ ke atas setiap pengundi.
– BERNAMA
No comments:
Post a Comment