Monday, 19 November 2012

Doa hancurkan Umno bukan arahan PAS- Mahfodz


SENAI: Tindakan Nik Razi Nik Mat mendoakan kehancuran Umno-Barisan Nasional(BN) dibuat atas kehendak beliau sendiri bukan kerana menerima arahan daripada pihak tertinggi PAS, kata Datuk Mahfodz Mohamed.


Post Pic


 
Malah, Pesuruhjaya PAS Johor itu turut mempertahankan tindakan tersebut dengan menegaskan bahawa Nik Razi yang juga adik kepada Mursyidul Am PAS hanya memohon kehancuran parti bukannya meminta Allah S.W.T menghancurkan serta menurunkan bala kepada pemimpin Umno-BN.
 
Ujarnya, doa tersebut dibuat berdasarkan keadaan di Kelantan yang didakwa semakin tertekan dengan tindakan kerajaan Pusat khususnya dalam isu royalti minyak 
 
Sebaliknya, Mahfodz mengakui Nik Razi hanya diarahkan untuk menjadi imam bagi solat hajat yang berlangsung sempena muktamar parti itu di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam kelmarin.
 
“Pada saya, doa Nik Razi itu berdasarkan situasi di Kelantan, yang cukup menerima tekanan hebat daripada Umno dan BN seperti isu royalti, namun berbeza doanya bagi solat Hajat yang diadakan di Kedah.
 
“Itu hak dia (Nik Razi) untuk memohon doa, dan sebagai makmum ketika solat Hajat berkenaan saya hanya mengaminkannya,” ujarnya.
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar mengenai tindakan parti pembangkang itu mengadakan solat hajat di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu semalam serta berdoa agar BN dan Umno dihancurkan untuk memudahkan laluan PAS ke Putrajaya.
 
Menurut Mahfodz lagi, beliau yakin sokongan kaum Melayu akan bertambah kuat kepada PAS jika Umno-BN berkubur pada Pilihan Raya Umum(PRU) ke 13 akan datang.
 
“Nik Razi mendokan kehancuran Umno dan BN. Jika parti itu hancur, saya yakin sokongan orang Melayu akan beralih kepada PAS.  
 
"Secara peribadi, saya turut mendoakan orang-orang Umno dan BN diberikan petunjuk untuk menyokong PAS,” katanya.
 
Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam reaksi awalnya menyifatkan tindakan PAS itu hanya akan memusnahkan kredibilitinya sebagai parti Islam.
 
Malah, Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden Umno itu berkata tindakan seumpama itu amat tidak Islamik dan bertentangan dengan prinsip Islam.

1 comment:

  1. BILA DAH RAMAI SUSAHLAH NAK CARI SIAPA YG BALING BATU.MASING-MASING SIBUK MENYEMBUNYIKAN TANGAN.

    ReplyDelete