Labels

Tuesday 13 November 2012

PRU-13 pulih kekuatan UMNO, BN

 
Pilihan Raya Umum Ke-13 merupakan peluang Barisan Nasional (BN) mengembalikan kekuatan politik selepas kehilangan lima negeri dan majoriti dua pertiga ekoran 'tsunami' politik pada 2008.

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, keadaan yang berlaku pada pilihan raya umum lalu bukan disebabkan krisis dalaman, tetapi ia salah satu daripada lima ujian besar yang dihadapi BN dan UMNO.

"Situasi yang dihadapi kini hampir sama dengan keadaan (selepas pilihan raya umum) pada 1969 di mana kita terpaksa memulihkan keadaan UMNO dan BN.

"Jadi dalam situasi sedemikian kita perlu lakukan sesuatu yang boleh menjamin kelangsungan kuasa kerana kita mempunyai banyak agenda besar untuk negara," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Jelajah Sayang 1Malaysia di Stadium Perbandaran Pasir Gudang dekat sini hari ini.

Najib yang juga Pengerusi BN menyatakan keyakinan parti dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang berdasarkan proses menambah baik parti komponen dan keyakinan rakyat menerusi pelbagai usaha yang dilakukan.

Terdahulu dalam ucapannya beliau berkata, lima ujian besar telah dilalui UMNO dan BN sejak dahulu lagi namun tidak menguburkan perjuangan demi rakyat.

"Ujian pertama adalah saat Dato' Onn Jaafar keluar dari parti dan menubuhkan Parti Negara (1954), namun keputusan pilihan raya tetap memihak kepada UMNO. Kedua, tragedi 13 Mei 1969 berikutan keputusan buruk pilihan raya umum yang pada masa itu ada pihak berarak hina orang Melayu, namun kita menang besar pada Pilihan Raya Umum 1974.

"Ujian ketiga apabila UMNO diharamkan pada 1987, namun kita bangkit dengan UMNO Baru yang meneruskan kesinambungan. Ujian keempat pada 1999 dengan laungan reformasi, demonstrasi jalanan selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

Jelas Najib, tsunami politik pada 2008 merupakan ujian yang kelima dan kini UMNO serta BN berada di persimpangan sama ada berjaya memenangi pilihan raya umum atau menerima padah yang buruk.

Beliau bagaimanapun menyatakan keyakinan Johor akan kekal sebagai negeri kubu kuat UMNO dan BN selepas melakukan lawatan ke beberapa kawasan penting seperti Johor Bahru, Tebrau, Pasir Gudang dan Gelang Patah.

No comments:

Post a Comment