SEREMBAN – Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negeri ini
bersepakat menghalang penganjuran Program Himpunan Kebangkitan Rakyat di
negeri ini jika pihak penganjur tetap berdegil mengadakannya esok.
Semalam, kira-kira 50 orang terdiri daripada 15 NGO berkumpul di
hadapan tapak program itu bakal berlangsung di Taman Seremban Jaya
sebagai tanda protes selain turut mendesak pihak polis mengambil
tindakan.
Pemangku Setiausaha Agung Gabungan NGO Malaysia, Mohd Arafat Muhammad
berkata, sekalipun Akta Perhimpunan Aman2012 menyebut sebarang
perhimpunan tidak memerlukan permit, namun ia dikhuatiri akan
menimbulkan kejadian tidak diingini.
“Kami marah dan geram terhadap penganjuran program itu dan mahu pihak
penganjur membatalkannya dengan memilih negeri lain yang berada di bawah
kepimpinan Pakatan Rakyat (PR).
“Jangan menyibuk dan kacau Negeri Sembilan, pergilah negeri sendiri.
Kami NGO telah sepakat jika ia terus diadakan, kami akan menghalang dan
membantah 100 peratus,” katanya.
Menurutnya, tiada apa yang perlu dibangkitkan oleh PR dengan
menganjurkan program itu kerana negara ini berada dalam keadaan aman.
Sementara itu Pengerusi Gerakan Memartabatkan Pejuang Negara (GMPN)
Malaysia, Mejar (B) Razali Zakaria berkata, tujuan bantahan itu dibuat
kerana mereka yakin program itu akan menimbulkan huru-hara.
Katanya, keamanan yang dimiliki negara tidak sepatutnya dimusnahkan dengan menjadikannya sebagai bahan politik.
“Penganjuran program ini adalah untuk bahan politik mereka bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13,” katanya.
Razali berkata, polis diharap dapat bertindak segera dengan
mengharamkan program itu diadakan kerana dikhuatiri insiden perhimpunan
Bersih akan berlaku di Negeri Sembilan.
“Jadi, kami barisan NGO telah membuat laporan polis pagi tadi (semalam) sebagai tanda bantahan.
“Jika polis tidak bertindak, jangan salahlah NGO jika kami bertindak
pada hari program itu berlangsung dan kami tidak bertanggungjawab jika
ada berlaku kemalangan atau pertumpahan darah,” katanya.
Antara NGO yang hadir, GMPN, Pekida, Jawatankuasa Kemajuan dan
Keselamatan Kampung Rantau, Pertubuhan Islam Gabungan Amal (Pertiga)
Negeri Sembilan, Pertubuhan Belia, Putera dan Al-Ehsan.
No comments:
Post a Comment