Labels

Monday, 19 November 2012

Pembangkang Tidak Yakin Menang PRU-13 – Tun Mahathir


Pakatan parti pembangkang – Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP – sebenarnya tidak yakin dapat memenangi pilihan raya umum ke-13 dan kerana itu mereka membuat banyak tindakan untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata sejak negara merdeka 55 tahun lepas, pembangkang tidak pernah berjaya menjatuhkan kerajaan Persekutuan yang diterajui Barisan Nasional (BN).

“Mereka (pembangkang) sedang bersedia kalau kalah lagi dalam pilihan raya akan datang, mereka akan cetus huru-hara dengan membuat demonstrasi, buat desakan kononnya kerajaan sekarang ini tipu bagi membolehkan Barisan Nasional menang.

“Inilah pendekatan mereka sekarang,” katanya selepas majlis Wacana Tokoh Negarawan Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Penjawat Awam Persekutuan Negeri Kedah di sini, Ahad.

Dr Mahathir berkata beliau yakin kerajaan yang ada sekarang kuat dan mampu untuk menjaga keamanan negara.

“Kalau kerajaan lemah, mereka tidak akan mampu untuk mentadbir negara dengan baik seperti sekarang dan mungkin juga akan digulingkan oleh rakyat,” katanya.

Dr Mahathir berkata rakyat perlu berhati-hati dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana Anwar dianggap sebagai pemimpin pilihan Amerika.

“Sejak zaman saya menjadi Perdana Menteri lagi, dia (Anwar) telah dianggap sebagai PM Malaysia oleh Amerika dan dia sendiri pernah membawa (anggota) Kongres Amerika datang ke sini,” katanya.

Selain itu, Dr Mahathir berkata terdapat kemasukan wang asing di negara ini bagi menjayakan agenda negara kuasa besar itu.

“Saya tahu banyak juga NGO (Badan Bukan Kerajaan) yang mendapat bantuan wang daripada badan-badan tertentu Amerika Syarikat dan negara-negara lain. Mereka bagi wang ini untuk menjayakan agenda mereka bukannya agenda kita.

“Ia berlaku sejak dari zaman saya lagi dan NGO itu telah diperalatkan. Saya yakin parti-parti politik pun ada yang terima wang tersebut,” katanya.

Beliau menasihatkan rakyat supaya berhati-hati dan memilih pemimpin yang betul bagi mengelakkan negara dikongkong dan dijajah semula.

Terdahulu, dalam ucapannya Dr Mahathir berkata pelbagai pembangunan telah dilakukan kerajaan pusat bagi memberi kesenangan kepada rakyat.

“Apa yang dilakukan oleh kerajaan itu menunjukkan kerajaan sangat prihatin dan sentiasa memikirkan nasib rakyat dan untuk membela rakyat,” katanya.

No comments:

Post a Comment