KUALA LUMPUR, 2
Okt – Belanjawan 2013 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Tun Razak pada Jumaat lepas lebih meyakinkan berbanding
belanjawan yang dikemukakan pakatan pembangkang, kata seorang profesor
ekonomi pada Isnin.
Profesor Datuk Dr Noor Azlan Ghazali dari Universiti Kebangsaan
Malaysia (UKM) berkata, belanjawan pakatan pembangkang yang hanya
memberi fokus kepada aspek “memberi, memberi, memberi” tidak mempunyai
kerangka yang jelas berbanding Belanjawan 2013 kerajaan.
“Apabila pakar ekonomi mempersoalkan belanjawan pembangkang secara
terperinci, mereka gagal memberikan jawapan yang meyakinkan dan jelas,
dari aspek ekonomi.
“Sebaliknya, pembangkang akan mendakwa pakar ekonomi bertanyakan
soalan yang berbaur politik,” katanya pada sesi perbincangan “Belanjawan
2013 dan Transformasi Ekonomi Negara” pada Wacana Majlis Profesor
Negara (MPN) Pasca Belanjawan 2013: Mentransformasi Negara anjuran MPN
di sini, Isnin.
Noor Azlan berkata demikian ketika diminta membuat perbandingan di
antara Belanjawan 2013 dan belanjawan pakatan pembangkang oleh salah
seorang peserta perbincangan itu.
Beliau yang merupakan salah seorang anggota panel perbincangan itu
berkata, pelbagai pemberian yang dijanjikan oleh parti pembangkang dalam
belanjawan itu dilihat hanya bertujuan memancing undi.
Noor Azlan berkata, Belanjawan 2013 yang dibentangkan pada Jumaat
lepas adalah begitu menyeluruh dan mengandungi pelan dan strategi yang
jelas terutama dalam membantu semua golongan masyarakat dan pelbagai
sektor.
Beliau juga turut mempersoal hasrat pakatan pembangkang untuk
menurunkan harga kenderaan kerana ini akan hanya menambahkan bilangan
kenderaan di jalan raya dan sekali gus menambah kesesakan.
“Lebih baik tingkatkan sistem pengangkutan daripada mengurangkan
harga kenderaan. Nanti lebih banyak kenderaan daripada jalan raya,”
jelasnya.
Noor Azlan berkata, ini dapat dilihat di negara-negara maju di mana
rakyatnya tidak perlu memiliki kenderaan kerana sistem pengangkutan
negara berkenaan begitu efisien.
Beliau berkata, adalah lebih baik Malaysia mencontohi sistem pengangkutan awam negara maju daripada menurunkan harga kenderaan.
Sementara itu, Pengerusi Pusat Kajian Sosial, Pembangunan dan
Persekitaran Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr Fuad Mohd
Jali berkata, Belanjawan 2013 menunjukkan komitmen Perdana Menteri
untuk merealisasikan aspirasi negara seperti yang dijanjikannya sebelum
ini.
Belanjawan 2013 membantu memberikan golongan tua dan muda di negara inimenikmati hidup yang lebih sejahtera, katanya.
Ia juga mampu memberi kesan positif terhadap pandangan rakyat kepada
kerajaan, katanya dalam perbincangan kedua bertajuk “Mentransformasikan
SosioPolitik Negara”.
“Malah sebelum Belanjawan 2013 dibentangkan, transformasi yang
dilakukan kerajaan melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Kedai Rakyat
1Malaysia (KR1M) dan Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1MA) sudah menunjukkan
hasil positif,” katanya.
No comments:
Post a Comment