Siapa
yang tak kenal Asmawi Ani, atau lebih popular dengan nama Mawi yang
pernah mencipta fenomena seni tanahair selepas berjaya menjuarai sebuah
program TV berdasarkan undian orang ramai Akademi Fantasia 3.
Kini dengan kehidupan yang lebih stabil dan teratur, dia semakin
matang dan tenang menangani media dan publisiti, berbanding di awal
pembabitannya. Pada usia 31, Mawi mendedahkan sudah sampai masanya
untuk melaksanakan cita-citanya sebagai anak jati Felda yang berjaya.
Beliau mahu membuat filem tentang Felda.
Bagi suami kepada pelakon Nora’Asikin Rahmat atau Ekin ini, selepas
hampir sepuluh tahun bergelar anak seni, sekarang merupakan waktu yang
sesuai untuk fasa yang berikutnya dalam hidup beliau iaitu masa untuk
mengejar impian.
"Saya selama ini bercita-cita mahu buat sebuah filem tentang Felda.
Saya percaya ia boleh jadi filem yang menarik yang boleh dibanggakan
oleh anak jati Felda macam saya," kata Mawi sewaktu ditemui Agendadaily.
Menurutnya, beliau berharap rancangan untuk membuat filem Felda ini
akan mendapat restu dari pemimpin nombor satu negara, iaitu Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Dia juga bercadang untuk menemui
Perdana Menteri bagi tujuan tersebut.
Ayah kepada bayi perempuan berusia lapan bulan, Cahaya Malaika itu,
Mawi merasakan sebagai generasi kedua Felda, dia sangat bertuah kerana
menjadi sebahagian dari keluarga Felda.
Jelas beliau, lahir sebagai anak peneroka Felda, projek membasmi
kemiskinan dan meningkatkan jurang pendapatan dengan membuka tanah-tanah
rancangan di luar bandar hasil inisiatif Tun Abdul Razak itu
menghasilkan kejayaan yang sangat luarbiasa.
"Sebagai anak Felda, saya sangat bersyukur dan gembira kerana saya
lahir dari keluarga Felda. Banyak manfaat yang kami perolehi dan sebagai
membalas jasa, saya rasa adalah wajar untuk saya mengusahakan filem
ini," ujar anak jati Felda Taib Andak Kulai Johor ini.
"Setakat ini semuanya masih dalam perancangan. Saya masih lagi perlu
mencari pengisian, iaitu isi cerita dalam Felda yang boleh menarik orang
ramai datang ke panggung," katanya.
Menurut Mawi, dia sudah menonton filem sejarah Felda, "Bilut" yang
diarah oleh Badaruddin Haji Azmi pada tahun 2006 dan menganggap ia
sebagai sebuah filem yang baik.
"Saya suka filem itu dan saya rasa ia sebuah filem yang bagus. Cuma
sayangnya stigma sejarah yang ditekankan itu telah membuat orang anggap
ia filem sejarah. Ini yang saya mahu elakkan bila saya buat filem itu
kelak. Bagaimana, itu cabaran besar saya," ujarnya.
Ditanya peranannya sendiri, sama ada akan turut berlakon atau
sekadar menjadi pengarah, Mawi hanya tersenyum sambil menjawab,
"Insyaallah. Buat masa ini saya lebih banyak terlibat dalam penerbitan
dan kerja-kerja arahan," kata Mawi.
Beliau sendiri pernah mengarah dua drama untuk Astro, iaitu "Pak Nil
Ibu Kirim Salam (siaran hari raya dua tahun lepas) dan 'Siapa Dapat
Lisa' (siar raya tahun ini).
Cita-cita untuk menghasilkan filem Felda ini mungkin akan menjadi
kenyataan tidak lama lagi kerana kata Mawi, dia mahu filem tersebut
menemui lebih 365,000 peneroka seluruh negara yang ada sebelum
Pilihanraya Umum ke 13.
"Saya hanya berharap pilihanraya tidak berlaku dalam masa terdekat
ini. Jika boleh biarlah saya sempat keluar filem itu terlebih dulu,"
ujarnya sambil menyifatkan pilihanraya akan datang ada keistimewaan
tersendiri untuknya.
Ini kerana, selain mahu menghasilkan filem sebelum detik penting itu,
Mawi juga untuk pertama kalinya akan menjalankan kewajibannya sebagai
rakyat Malaysia.
Buat pertama kali dalam hidupnya, Mawi akan keluar mengundi.
"Ini satu lagi hasrat saya, iaitu untuk keluar mengundi. Arwah ayah
saya sudah mendaftarkan saya di Kulai, Johor dan dia pernah pesan agar
saya mesti mengundi dan kali ini saya akan laksanakan amanat itu.
Insyaallah," katanya penuh yakin.
"Tapi sekarang, sementara menunggu detik itu, saya kena persiapkan
diri dengan kertas kerja bagi filem Felda, iaitu skrip dan rangka cerita
untuk saya bentangkan kepada Perdana Menteri. Semoga semua ini dapat
berjalan dengan baik, insyaallah," katanya.
Sumber : AgendaDaily
No comments:
Post a Comment