Friday, 12 October 2012

Muhyiddin mahu BR1M terus kekal


Muhyiddin
  Muhyiddin mengunjungi gerai buah-buahan tempatan ketika melawat Pasar Bungai sempena majlis Pemimpin Bersama Rakyat.
 
MIRI - Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) wajar diteruskan berikutan sambutan positif rakyat kerana ia mampu meningkatkan kuasa beli golongan berpendapatan rendah dan merangsang pertumbuhan ekonomi domestik negara.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata secara peribadi beliau berpendapat pemberian BR1M patut dikekalkan namun perlu penambahbaikan bagi memastikan bantuan disalurkan sampai kepada golongan sasar.

"Terserah kepada Perdana Menteri, saya secara peribadi berpendapat memang baik," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Tanjung Bungai, Bekenu di sini, hari ini.

Maklum balas hasil lawatan ke Limbang dan Miri, beliau mendapati majoriti rakyat menyambut baik BR1M 2.0 yang bakal dilaksanakan mulai tahun depan dan mahu ia dikekalkan kerana faedah besar kepada golongan berpendapatan rendah.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pemberian BR1M mampu memberi impak lebih positif berbanding skim rasionalisasi subsidi komoditi yang berkaitan dengan pengurangan harga petrol dan gula kerana bantuan tersebut terus kepada golongan yang disasarkan.

BR1M tahun ini menyaksikan kerajaan persekutuan memberi bantuan RM500 kepada setiap isi rumah berpendapatan RM3,000 sebulan ke bawah, yang dimanfaatkan oleh 4.2 juta isi rumah membabitkan peruntukan kira-kira RM2.2 bilion, manakala BR1M 2.0 membabitkan peruntukan RM3 bilion dengan tambahan penerima kira-kira 2.7 juta individu bujang.

Pada pembentangan Belanjawan 2013, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan BR1M 2.0 yang turut diperluas kepada orang bujang berusia 21 tahun ke atas dengan pendapatan bulanan kurang RM2,000 yang melayakkan mereka menerima RM250.

Bagaimanapun pelajar institusi pengajian tinggi tidak layak menerima BR1M 2.0, sebaliknya mereka akan menerima Baucar Buku 1Malaysia juga bernilai RM250.

Terdahulu, Muhyiddin membayangkan kemungkinan BR1M dikekalkan sekiranya rakyat memberi kepercayaan semula kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk memerintah negara dalam pilihan raya umum akan datang.

"Mungkin BR1M boleh kekal," katanya sambil menambah kerajaan BN sentiasa prihatin dengan golongan berpendapatan rendah sehingga sanggup menyediakan pelbagai bantuan bagi meringankan beban kos sara hidup. - Bernama

No comments:

Post a Comment