Secara dasarnya, Ambiga enggan mengakui bahawa yang berhimpun di depan rumahnya itu adalah rakyat biasa serta cuba menuduh kerajaan atau UMNO sebagai dalang. Ini tidak benar. Namun begitu, siapa jua mereka bukan soalnya.
Soalnya ialah, kalau pun benar mereka adalah ahli UMNO, mereka juga adalah rakyat yang punya hak untuk menyatakan ketidakpuasan hati terhadap manusia yang telah menyebabkan perniagaan mereka rugi pada 28hb April yang lalu.
Kini terbuktilah sudah bahawa perjuangan Ambiga dan BERSIH keseluruhannya adalah hipokrit semata-mata di mana hak untuk menuntut hak, hanya ada pada Ambiga dan Pakatan Rakyat. Mana-mana rakyat yang tidak menyokong mereka tidak ada hak untuk berbuat yang sama.
Lebih menarik lagi apabila beberapa rakan dan pensimpati Ambiga cuba membantu dengan memberi berbagai-bagai hujah untuk menidakkan hak rakyat untuk berhimpun di hadapan rumah Ambiga.
Antaranya, A.Samad Said yang merayu rakyat agar jangan mengganggu Ambiga. Rakan-rakan dan penyokong Ambiga di alam maya juga berusaha untuk memperlekeh dan meremehkan tindakan berhimpun dan berniaga di depan rumah Ambiga, konon untuk merendahkan moral mereka dan mengharapkan mereka bersurai.
Begitu juga dengan akhbar berbahasa Cina, China Press, yang menyatakan bahawa tindakan peniaga tersebut membalas dendam sedemikian adalah kebudak-budakan dan bodoh.
Ya, mungkin juga tindakan membalas dendam sebegitu adalah nakal dan kebudak-budakan manakala tindakan BERSIH 3.0 melanggar undang-undang dan mengganas pula tidak nakal dan tidak kebudak-budakan. Tetapi ia adalah tindakan manusia dewasa yang jahat, penuh dengan khianat dan sememangnya tersangat bodoh!
Kerana BERSIH nama negara tercemar, imej negara tercalar, peniaga-peniaga mengalami kerugian serta pihak kerajaan juga menanggung kerosakan harta awam. Semuanya kerana Ambiga.
China Press cuba berhujah bahawa Ambiga tidak harus dipertanggungjawabkan untuk membayar balik kerugian yang dialami peniaga. Alasan mereka, kemusnahan yang berlaku dalam BERSIH 3.0 adalah disebabkan oleh kelalaian dan ketidakcekapan kerajaan, maka gantirugi peniaga-peniaga itu sewajarnya dibayar oleh kerajaan, bukan Ambiga. Hujah mereka lagi, tempat untuk peniaga itu berniaga dan mendapat keuntungan adalah disediakan oleh kerajaan dengan menggunakan cukai yang diperolehi dari rakyat. Entah kenapa kita dapat mengesan sikap perkauman di dalam kenyataan ini. Apakah China Press secara halus ingin memberitahu bahawa majoriti peniaga yang terlibat adalah Melayu dan pembayar cukai tertinggi adalah peniaga Cina?
Lebih lucu lagi apabila China Press menyatakan bahawa peniaga-peniaga tersebut seharusnya boleh membuat untung dan bukannya rugi ketika perhimpunan BERSIH 3.0 sekiranya mereka bijak mengambil peluang.
Justeru, kenapa agaknya BERSIH 3.0 memilih untuk berarak di kawasan peniaga Melayu dan India dan mengelak untuk ke kawasan perniagaan kaum Cina? Bukankah kerana kaum Cina awal-awal lagi tahu yang perhimpunan sebegitu pasti membawa kerosakan, bukan keuntungan dan mengambil langkah awal memastikan kawasan kaum mereka berniaga terselamat dari sebarang risiko?
No comments:
Post a Comment