Kami tiba di sebuah banglo lama dekat Kampung Kolam Air, Hulu Kelang kira-kira pukul 3 petang.
Dari jauh kelihatan seorang ibu tua yang bertongkat memandang kami dengan wajah yang cukup sayu.
Namanya Che Tom Yahaya, berusia 78 tahun.
Kalau sebut nama itu mungkin ramai yang tak mengenalinya, tapi kalau
sebut nama Azmin Ali, Azwan Ali dan Ummi Hafilda Ali, tak mustahil ramai
yang akan mengingatinya.
Beliau adalah ibu kandung kepada tiga individu yang cukup dikenali ramai ini.
Ketika memulakan bicara, Che Tom mengambil masa hampir beberapa minit sebelum melontarkan ayatnya yang pertama.
Namun setiap kali beliau bercakap, setiap kali itu jugalah airmatanya jatuh menitis membasahi pipi.
” Bila mengenangkan perbuatan Azmin, hati makcik hancur,”
kata Che Tom merujuk kepada perbuatan dan tingkah laku anak sulungnya
yang juga Ahli Parlimen Gombak itu.
Menurut Che Tom, entah dimana silapnya, Azmin, anak yang cukup baik
dan mendengar kata tiba-tiba boleh berubah menjadi yang sebaliknya.
Kata Che Tom, kali terakhir beliau bertemu muka dengan anak sulungnya itu hanyalah pada pagi Hari Raya Aidil Fitri tahun lepas.
Sejak itu Azmin tidak lagi menjenguknya walaupun jarak pejabat
Timbalan Presiden PKR berkenaan hanyalah kira-kira 10 minit dari
rumahnya.
Malah menurut Che Tom, Azmin langsung tidak memberi nafkah kepada
beliau termasuk tidak datang menziarahinya sewaktu beliau sakit dan
terlantar di hospital.
” Pada pagi hari raya itu kebetulan Ummi Hafilda juga ada di
rumah saya…melihat saja kehadiran Ummi Hafilda, dia terus memaki hamun
dan mengeluarkan kata-kata kesat.
” Malah di pagi yang mulia itu juga, dia memberitahu
anak-anaknya supaya jangan duduk di atas kerusi di rumah saya kerana
kononnya ia belum ‘disamak’, Azmin juga tak bagi anaknya menjamah
makanan yang dihidangkan kerana menuduhnya ‘benda haram’.
” Bila saya tegur kenapa dia sanggup berkata begitu terutama
kepada adik perempuannya itu sedangkan Ummi Hafilda juga adalah darah
dagingnya sendiri, jawab Azmin, darah dagingnya hanyalah Anwar Ibrahim,”
kata Che Tom sambil menahan sebak.
Menurut Che Tom, Allah saja yang tahu betapa seksa dan azabnya dia sewaktu mengandungkan Azmin.
Tetapi, menurut Che Tom, dia tidak sangka segala kesusahan itu dibalas dengan sedemikian rupa.
Ketika ditanya mengenai tuduhan terbaru yang dilemparkan ke atas
Azmin, Che Tom berkata dia tidak tahu sama ada ianya benar atau
sebaliknya.
Tetapi beliau mengakui cukup tertekan apabila masyarakat sekeliling
bercakap mengenainya, malah telefonnya juga asyik berbunyi apabila ramai
sanak saudara dan kenalan bertanyakan hal itu.
” Bagi makcik mudah, kalau betul dia rasa dia di pihak yang
benar, saman mereka, bersumpah dengan nama Allah untuk membersihkan
namanya itu,” kata Che Tom.
Selasa lalu, beberapa laman blog menyiarkan siri gambar yang
memaparkan aksi panas seorang lelaki mirip pemimpin pembangkang dengan
wanita termasuk melakukan seks oral di dalam sebuah tandas.
Paling mengejutkan pendedahan beberapa blog yang menyiarkan gambar
seorang lelaki menyerupai pemimpin parti pembangkang sedang menyelak
baju seorang wanita di dalam sebuah tandas.
Gambar itu dipercayai sebahagian daripada sedutan rakaman aksi seks
lelaki berkenaan bersama wanita misteri yang dirakam menggunakan kamera
tersembunyi daripada bahagian atas tandas tersebut.
Bagaimanapun, Azmin segera menafikan beliau adalah lelaki dimaksudkan
dan pada masa sama, menuduh UMNO sebagai dalang dalam penyebaran gambar
panas itu.
Ketika diminta berkata sesuatu kepada Azmin sempena Hari Ibu esok,
Che Tom berkata, beliau redha sekiranya ‘dijemput pulang’ oleh Allah
dalam masa terdekat ini dan tidak mengharapkan Azmin pulang menziarahi
jenazahnya.
Cuma Che Tom berkata, beliau berharap benar agar Azmin perlu menjauhkan diri dari ‘kumpulan’ yang disertainya sekarang.
” Saya tak pernah ajar Azmin untuk jadi seperti sekarang, saya malu kepada masyarakat,” katanya.
Namun biar apapun yang terjadi, tambah Che Tom, dia tetap sayangkan Azmin.
” Saya tak akan buang dia, dia tetap anak saya yang saya bela dari tapak kaki dua jari.
” Baliklah ke pangkal jalan dan bertaubatlah,” katanya dalam nada perlahan sambil memandang ke arah luar jendela banglo usang tersebut
No comments:
Post a Comment